"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ahli Parlimen PAS enggan ulas rakaman audio 'tukar kerajaan'

Shakira Buang

Seorang pemimpin kanan PAS enggan mengulas dakwaan dia adalah pemilik suara dalam rakaman audio yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Malah, ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS Pusat, Nik Muhammad Zawawi Salleh, berkata dia sendiri tidak dimaklumkan berhubung perkara tersebut dan tidak mendengar sendiri rakaman berkenaan.

"Itu tiada komen," katanya ringkas ketika ditanya sama ada dia merupakan suara dalam rakaman audio dan bercakap mengenai usaha menjatuhkan kerajaan.

Terdahulu, tular rakaman audio didakwa sesetengah pihak sebagai mirip suara Nik Muhammad Zawawi. Dalam rakaman itu individu terbabit meminta jentera parti Perikatan Nasional (PN) terus bersemangat dan bersabar sedikit masa lagi kerana kerajaan sedia ada hari ini tidak akan bertahan lama.

Dalam rakaman audio berdurasi 1.15 minit itu, Nik Muhammad Zawawi berkata apa yang dinyatakan itu berdasarkan daripada ramalannya bersama kepimpinan PN.

"Insya-Allah, peristiwa yang telah berlaku sejak dari ini akan berulang kembali kerana jumlah (kerusi) yang kita (PN) perolehi agak besar dan ramai pihak yang sebenarnya yang tidak mahu bersama-sama dengan DAP dan dengan PKR, Anwar Ibrahim ini.

"Cuma kita bersabar sekejap, insya-Allah kita akan mengorak langkah mengatur strategi-strategi yang baru untuk kita pastikan kerajaan di Malaysia ini akan dikuasai oleh PN. Insya-Allah," katanya dipetik dari rakaman audio berkenaan.

Mengulas lanjut, Nik Muhammad Zawawi sekali lagi berkata dia tidak mengetahui kewujudan rakaman berkenaan.

"Saya tak tahu," katanya ringkas.

Hak Yang di-Petuan Agong

Bagaimanapun ketika diminta mengulas saranannya berhubung langkah untuk menukar kerajaan itu, Nik Muhammad Zawawi berkata, ia tiada masalah kerana ada caranya mengikut undang-undang.

"Bertukar kerajaan ini mengikut perlembagaan dan mengikut lunas undang-undang demokrasi berparlimen, tiada masalah. Apa yang susah sangat?

"Sebab itu dalam parlimen kita ada undi percaya dan undi tidak percaya, itu biasalah," katanya.

Jelas bekas ketua Dewan Ulama PAS Pusat itu lagi, dia juga tidak ada masalah dengan pelantikan Pengerusi PH, Anwar Ibrahim selaku perdana menteri ke-10 dan menerima ketetapan Yang di-Pertuan Agong.

"Saya orang PAS, saya akan jadi pembangkang yang akan semak dan imbang semua sekali, itulah.

"Itu (pelantikan perdana menteri) hak Yang di-Pertuan Agong. Dalam perlembagaan termaktub begitu," katanya.

Selain itu, ditanya sama ada dia perlu membuat laporan polis, Nik Muhammad Zawawi berkata dia mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

"Tengok keadaanlah," tambahnya.

Anwar yang juga Presiden PKR mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri ke-10 pada 24 Nov lalu.

Pemimpin kanan BN maklumkan MCA supaya bersama PN

Malaysiakini

Timbalan Presiden MCA Mah Han Soon hari ini mendedahkan bahawa pemimpin kanan BN yang tidak dinamakan memaklumkan kepada parti itu supaya bersama Perikatan Nasional (PN) bagi membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Pendedahan itu dibuat susulan dakwaan Presiden PAS Abdul Hadi Awang bahawa PN memiliki akuan bersumpah (SD) daripada MCA dan MIC yang menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Mah dalam kenyataannya hari ini, tidak mengesahkan mahupun menafikan jika dua ahli parlimen parti itu ada menandatangani sebarang SD yang menyokong PN.

“Selepas berakhirnya PRU15, parti MCA telah dimaklumkan oleh pemimpin-pemimpin kanan dalam BN bahawa BN patut bersama PN bagi membentuk kerajaan berdasarkan kepada keputusan yang dibuat sebelum PRU15 iaitu, No DAP & No Anwar.

“Situasi sama turut berlaku kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Laporan berita juga banyak menyiarkan mengenai sokongan GPS kepada PN selepas mereka dimaklumkan bahawa BN bersetuju menyokong PN,” katanya.

Bagaimanapun, BN menafikan perkara itu, dan mesyuarat dewan tertinggi kemudian memutuskan ketika itu untuk kekal sebagai gabungan pembangkang yang berkecuali.

Pada mesyuarat itu, Mah berkata bahawa Presiden MCA Wee Ka Siong juga mencadangkan mana-mana pihak yang telah menandatangani SD yang menyokong PN supaya menariknya semula serta-merta - keputusan yang diterima pakai oleh BN secara keseluruhan.

MCA dan BN kini menjadi sebahagian daripada kerajaan bersama Pakatan Harapan.

Muhyiddin dan PN sebelum ini mendakwa mereka mempunyai sokongan 115 ahli parlimen tetapi Anwar kemudiannya berjaya mengumpulkan majoriti di Dewan Rakyat.

Hadi memetik SD yang didakwa ditandatangani oleh MCA dan MIC dalam usaha untuk membuktikan bahawa partinya tidak ekstrem dan PN menikmati at sokongan parti-parti bukan Islam lain itu.

ADUN veteran BN tersinggung digelar ‘burung tua’

Faiz Zainudin dan Chia Wan Rou

SHAH ALAM: Seorang ADUN veteran Barisan Nasional (BN) menegur seorang wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) supaya lebih beradab ketika berucap di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Shamsudin Lias (BN-Sungai Burong) membuat teguran itu selepas ADUN Taman Templer, Sany Hamzan menggelarnya “burung tua”.

“Nasihat pertama kita boleh bercakap, tapi jangan singgung perasaan, saya boleh maafkan, tapi tidak boleh terima tuduhan sebagai burung tua. Saya dah berumur, tapi adakah wajar kita menuduh,” katanya dalam sidang DUN.

Sany kemudian mengakui keterlanjurannya dan memohon maaf kepada Shamsudin.

“Terima kasih, saya sebenarnya sudah maafkan sebelum (Sany) mohon maaf lagi, tapi saya tidak akan lupa, perasaan kita perlu jaga, saya ingin menjelaskan supaya apa yang berlaku semasa kempen pilihan raya umum biarlah ia jadi sempadan,” kata Shamsudin.

Semalam, Sany menggelar Shamsudin “burung tua” kerana wakil rakyat BN itu tidak memberi laluan kepadanya untuk mencelah ketika berucap di DUN.

Dalam perkembangan lain, Shamsudin meminta Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari mempertimbangkan peruntukan saksama dan sama rata kepada semua ADUN, termasuk wakil rakyat BN dalam usaha membantu rakyat.

Beliau juga berharap pengerusi PH Selangor itu akan melantik wakil BN menganggotai jawatankuasa di peringkat pihak berkuasa tempatan serta pejabat daerah dan tanah.