"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sanusi pertikai kedaulatan Pulau Pinang

DR ZULQARNAIN LUKMAN

Terdapat dua isu berkaitan Pulau Pinang yang dipertikaikan oleh YAB Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Sanusi Md Nor. Isu pertama adalah mengenai bayaran pajakan kerajaan Pulau Pinang sebanyak RM10,000 setahun yang dianggap sangat rendah.

Setelah kerajaan PH memerintah pada 2018, Kerajaan Persekutuan telah membayar tambahan RM10 juta kepada Kedah. Namun, Sanusi masih tidak berpuashati dengan bayaran RM10 juta setahun ini dan Sanusi kemudiannya menuntut bayaran ini disemak kepada RM100 juta. Tuntutan ini disebut olehnya dalam satu sidang media pada 27/10/2021.

Isu kedua pula adalah berkaitan dengan kedaulatan negeri Pulau Pinang. Baru-baru ini tular satu video yang mana Sanusi mempertikaikan kedaulatan negeri Pulau Pinang berdasarkan kepada dakwaannya bahawa Pulau Pinang adalah dipajak daripada negeri Kedah. (rujuk ​​https://www.youtube.com/watch?v=iPt5srAva6I )

Cerita berkaitan pajakan negeri Pulau Pinang ini sudah lama dibangkitkan oleh beberapa orang ahli sejarah. Namun, hal itu hanya berlegar di sekitar dunia akademik sahaja. Hal ini menjadi serius apabila dibangkitkan semula oleh Sanusi atas sifatnya sebagai Menteri Besar.

Mengikut beberapa tulisan, pada abad ke 18 Masihi, Kedah menghadapi ancaman daripada Siam dan Burma.

Pada masa itu juga berlaku pergolakan dalaman di kalangan kerabat diraja sendiri yang tidak puas hati dengan beberapa tindakan Sultan Kedah pada masa itu iaitu Sultan Abdullah Mukarram Shah.

Pada waktu itu Sultan Kedah telah meminta perlindungan daripada Syarikat Hindia Timur Inggeris untuk mengatasi ancaman tersebut.

Pergolakan itu telah menyebabkan Sultan Kedah telah menandatangani Perjanjian 1786 dengan Francis Light yang mana Francis Light berjanji untuk membayar $30,000 Sepanyol kepada Sultan Kedah sebagai balasan untuk menduduki Pulau Pinang dan memberikan perlindungan kepada Kedah.

Namun, Francis Light tidak mengotakan terma perjanjian itu dan Sultan Kedah telah cuba mengambilalih Pulau Pinang dengan menyerang Inggeris.

Malangnya, serangan itu dapat dihidu dan beliau akhirnya diserang oleh Inggeris terlebih dahulu.

Akhirnya, Sultan Kedah terpaksa berdamai dengan Inggeris walaupun Francis Light hanya menawarkan bayaran sebanyak $6,000 Sepanyol kepada Sultan Kedah sebagai balasan menduduki tanah Pulau Pinang.

Akibat itu, satu lagi perjanjian ditandatangani pada 1791 untuk mengesahkan hal tersebut.

Ada juga pakar sejarah yang mengatakan bahawa Perjanjian 1786 itu tidak sah kerana ianya dibuat oleh secara paksa oleh Inggeris. Ada juga dakwaan yang menyatakan bahawa Sultan Abdullah Mukarram itu bukanlah Sultan Kedah yang sah pada ketika itu menyebabkan penyerahan Pulau Pinang oleh Kedah adalah tidak sah.

Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), Dr Ibrahim Bakar juga pernah mendesak kerajaan negeri Kedah mengadakan perbincangan serius bersama Kerajaan Pusat bagi mencapai persefahaman baharu termasuk mengambil kira kadar bayaran tahunan kepada Kedah.

Semasa ucapan berkaitan belanjawan 2023, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng telah menyelar tindakan Sanusi yang cuba mengatakan bahawa Pulau Pinang adalah negara yang tidak berdaulat.

Ini kerana Pulau Pinang telah diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan sebagai sebuah negeri dalam Persekutuan Malaysia. Beliau juga menyatakan bahawa tindakan Sanusi itu sangat tidak menghormati kedudukan Gabenor Pulau Pinang yang telah dilantik oleh YDPA.

Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican pula berpendapat bahawa Sultan Abdullah dan Francis Light tidak pernah menandatangani apa-apa perjanjian atau surat pajakan berkaitan penyerahan Pulau Pinang daripada Kedah kepada Syarikat Hindia Timur Inggeris ketika itu.

Beliau berpegang kepada apa yang dijelaskan oleh sorang sejarawan, R. Bonney di dalam bukunya ‘Kedah 1771-1821: The Search for Security and Independence’.

Baginya, surat-surat yang dipamerkan kepada orang ramai itu bukanlah surat pajakan tetapi hanya cebisan surat-surat komunikasi antara Sultan Kedah dan Inggeris.

Namun, mendiang Profesor Khoo Kay Kim pernah menyatakan pada tahun 2015 bahawa isu berkenaan penyerahan semula Pulau Pinang kepada Kedah juga telah terlalu lewat untuk dibincangkan mana-mana pihak kerana ianya sudah tertulis dari dahulu.

Baginya, perjanjian itu sudah termaktub dan kedegilan Francis Light untuk keluar dari Pulau Pinang juga sudah tertulis dalam sejarah.

Sultan Kedah pada masa itu tidak dapat menghalangnya malah gagal menghalau Francis Light pada masa itu. Sekarang sudah terlalu lewat, takdirnya Pulau Pinang bukan milik Kedah lagi.

Justeru, bagaimanakah pula kedudukan dari sudut undang-undang pada masa kini. Bolehkah Sanusi atau sesiapa sahaja mempersoalkan kedaulatan negeri Pulau Pinang dan bolehkah Kedah mengambil kembali Pulau Pinang untuk menjadikannya sebagai sebahagian daripada negeri Kedah?

Hujahan Sanusi ini pada umumnya berlegar mengenai pembayaran pajakan tanah Pulau Pinang sebanyak RM10,000 setahun.

Baginya wujudnya pembayaran itu membuktikan wujudkan pajakan. Meskipun hujahan ini diterima sekali pun ianya persis hujahan waris kesultanan Sulu yang menuntut Sabah disebabkan pembayaran wang pajakan kepada mereka setiap tahun.

Jika Sanusi mengambil jalan untuk mencabar perjanjian antara Sultan Kedah dan Francis Light di Mahkamah sekali pun mungkin Mahkamah tidak akan menyebelahinya. Ini berdasarkan kepada sejarah tuntutan waris Kesultanan Sulu terhadap Sabah.

Dalam kes S ERIC S OMBRA v. STATE GOVERNMENT OF SABAH [2020] 1 LNS 2366, Pesuruhjaya Kehakiman Leonard David Shim, Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu telah membuat keputusan berikut berkaitan tuntutan waris Kesultanan Sulu yang menuntut hak untuk memasuki dan mengutip sarang burung di Gua Gomantong yang terletak di Kinabatangan, Sabah.

[36] It is an established fact that the State of Sabah has been, is and remains a legitimate and integral part of Malaysia since 16 September 1963, Sabah having joined the Federation of Malaysia is a newly independent State following its decolonization by the United Kingdom based on the report of the Cobbold Commission, IGC Report and the Malaysia Agreement.

[37] Upon independence of Sabah through Malaysia, all the property and assets of North Borneo Company were automatically inherited and succeeded to the Defendant. Article 49 of the Constitution of the State of Sabah (succession of property) provides that:

(1) Subject to the provisions of this Article, all property and assets which immediately before the commencement of this Constitution were vested in Her Majesty for the purposes of the colony of North Borneo shall on the commencement of this Constitution vest in the State.

(2) Any land in the State which immediately before the commencement of this Constitution was vested in Her Majesty shall on the commencement of this Constitution vest in the State.

(3) Any property which was immediately before the commencement of this Constitution liable to escheat to Her Majesty shall on the commencement of this Constitution be liable to escheat to the State.

[38] By reason of the aforesaid, it is submitted by the Defendant that the Plaintiff’s claim on any part of Sabah, particularly, the Gomantong Caves should not be entertained at all as Sabah being a part of a sovereign state, is and remains an independent state through Malaysia.

Berdasarkan kes ini pastinya hujahan Sanusi berasaskan pajakan itu tidak boleh ditegakkan di Mahkamah. Mahkamah akan lebih memilih untuk berpegang kepada dokumen yang terpakai pada masa sekarang iaitu Perjanjian Malaysia dan juga peruntukan Perlembagaan. Melalui peruntukan Perlembagaan yang ada negeri Pulau Pinang adalah sebuah negeri yang berdaulat yang mempunyai Gabenor, badan legislatif dan eksekutifnya yang tersendiri.

Pulau Pinang sudah tidak menjadi sebahagian daripada negeri Kedah lebih daripada 200 tahun yang lalu. Jika ada pun hujah bahawa Perjanjian Inggeris dan Sultan Kedah itu tidak sah atau tidak wujud sekali pun ianya sudah menjadi perkara yang lepas dengan berlakunya peristiwa yang lebih baharu.

Selain itu, jika Sanusi ingin memilih jalan pindaan undang-undang maka akan terdapat 2 kesulitan undang-undang bagi Kedah untuk menuntut semula Pulau Pinang. Pertamanya, pindaan ke atas Undang-Undang Tubuh Negeri Pulau Pinang dan keduanya, pindaan ke atas Perlembagaan Persekutuan.

Sekiranya Pulau Pinang ingin dikembalikan kepada negeri Kedah maka Undang-Undang Tubuh Negeri Pulau Pinang itu perlu dimansuhkan terlebih dahulu dan satu enakmen baharu perlu diperkenalkan bagi pengembalian itu.

Perkara 35(3) dan (3A) Undang-Undang Tubuh Negeri Pulau Pinang menyatakan bagaimanakah pindaan boleh dibuat terhadap Undang-Undang Tubuh tersebut iaitu mesti mendapat kelulusan 2/3 undi majoriti daripada keseluruhan jumlah ahli DUN.

Bolehkah Sanusi mendapat kelulusan daripada 2/3 undi majoriti itu? Kemungkinan boleh itu hanya akan berlaku sekiranya parti Sanusi iaitu Perikatan Nasional memenangani Pilihan Raya Negeri yang bakal diadakan nanti.

Adakah Perikatan Nasional bercadang untuk memasukkan hal ini dalam manifestonya kelak? Adakah rakyat Pulau Pinang boleh bersetuju tentang hal tersebut memandangkan Pulau Pinang jauh lebih maju daripada segi ekonomi berbanding Kedah.

Kemasukan Pulau Pinang ke dalam negeri Kedah akan menyebabkan hasil ekonomi Pulau Pinang akan dibahagi-bahagikan dengan seluruh negeri Kedah dan ini pastinya akan menjejaskan pembangunan ekonomi Pulau Pinang sendiri.

Keduanya, berkaitan pindaan kepada Perkara 1(2)(a) Perlembagaan Persekutuan. Perkara 1(2)(a) itu menyatakan bahawa Negeri-Negeri Persekutuan bagi negeri-negeri Tanah Melayu adalah terdiri daripada Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu.

Jika ingin dimasukkan Pulau Pinang ke dalam negeri Kedah maka pindaan berikut perlu dibuat untuk memansuhkan perkataan Pulau Pinang dalam Perkara 1(2)(a) tersebut. Selain itu, beberapa peruntukan lain juga perlu dipinda iaitu Perkara 3(3), 42(10), 46(2)(a)(vii), 132(4)(d), 135(1), 139(1), 139(2), 166(3), 166(8] dan Jadual Kelapan. Adakah Ahli-Ahli Parlimen boleh bersetuju untuk meminda sebegitu banyak peruntukan Perlembagaan ini.

Selain itu, sayugia juga diingatkan bahawa Pulau Pinang diwakili oleh 13 Ahli Parlimen. Adakah kesemua Ahli Parlimen itu akan seia sekata untuk memansuhkan kewujudan Pulau Pinang daripada peta Malaysia. Barang juga diingatkan bahawa kewujudan Pulau Pinang sudah diketahui oleh masyarakat dunia tidak kurang daripada 200 tahun yang lepas. Memansuhkan negeri Pulau Pinang hanya akan mengundang kekeliruan kepada masyarakat antarabangsa. Apatah lagi Bandaraya Georgetown di Pulau Pinang sudah tersenarai sebagai salah satu tapak warisan dunia oleh UNESCO.

Oleh itu, secara logik akal tindakan untuk mencabar kedaulatan Pulau Pinang ini hanyalah sekadar seruan politik murahan.

Mungkin Sanusi sendiri sudah buntu untuk mencari sumber ekonomi untuk membangunkan negeri Kedah dan justeru cara yang paling mudah adalah untuk berkhayal dengan membayangkan Pulau Pinang menjadi sebahagian daripada negeri Kedah dan secara automatik GDP Kedah akan meningkat secara mendadak.

Lebih aula bagi Sanusi untuk berfikir dengan lebih kritis untuk membangunkan negeri dengan menggunakan sumber dalaman negeri Kedah sendiri khasnya membangunkan sektor pertanian, mineral dan pelancongan.

Kedah sendiri adalah lebih luas tanahnya berkali ganda daripada Pulau Pinang dan merupakan anugerah Allah Taala.

Sekiranya dibangunkan sektor pertanian khasnya sumber tanaman padi pastinya Kedah bukan setakat menjadi negeri jelapang padi bagi Malaysia bahkan juga menjadi jelapang padi bagi masyarakat dunia.

Pegawai bank khianat buat kad kredit guna maklumat pelanggan ditahan polis

Bernama

IPOH: Polis menahan seorang pegawai bank tempatan kelmarin selepas disyaki menggunakan maklumat pelanggan untuk membuat permohonan kad kredit bagi kegunaan sendiri yang mengakibatkan kerugian sebanyak RM563,422 di Taiping, dekat sini.

Ketua Polis Taiping, Razlam Ab Hamid, berkata lelaki berusia 31 tahun itu ditahan di rumahnya di Jinjang, Kuala Lumpur selepas polis menerima laporan daripada pengurus siasatan bank berkenaan pada 17 Jan lepas.

“Pihak berkenaan telah kerugian sebanyak RM563,422 ekoran daripada penggunaan 18 kad kredit yang telah diluluskan tanpa pengetahuan pelanggan.

“Polis turut merampas satu telefon bimbit, 16 kad kredit milik pelanggan serta 15 keping simkad,” katanya dalam kenyataan.

Razlam berkata pegawai bank berkenaan direman empat hari hingga Jumaat ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Pengundi fail petisyen batal keputusan PRU15 Parlimen Putrajaya kerana sogokan RM150

Bernama

KUALA LUMPUR: Seorang pengundi di Parlimen Putrajaya memfailkan petisyen bagi membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Parlimen itu, yang dimenangi Datuk Mohd Radzi Md Jidin, selepas mendakwa ahli Parlimen tersebut memberi sogokan berjumlah RM150 kepada pengundi berdaftar di kawasan berkenaan untuk mengundinya.

Menerusi petisyen itu, Ahmad Faisal antara lain memohon perintah mahkamah agar Radzi, yang juga Naib Presiden Bersatu, tidak wajar dipilih bagi Parlimen berkenaan pada PRU15 yang diadakan pada 19 Nov lepas.

Ahmad Faisal mendakwa pemberian sogokan wang RM150 itu, yang dilakukan oleh responden dan ejennya, menyebabkan kemenangan kepada Radzi dengan mengalahkan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, calon daripada Barisan Nasional yang juga penyandang kerusi Parlimen itu sejak 2004.

Menurut pempetisyen, perbuatan sogokan oleh ejen responden mendorong pengundi di kawasan itu untuk mengundi responden semasa PRU15 dan bukan mengundi calon lain.

Katanya, tindakan ejen-ejen responden memberikan sogokan dalam bentuk wang tunai telah memprejudiskan perjalanan pilihan raya dan ia suatu tindakan salah serta menggugat amalan prinsip demokrasi di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Pempetisyen mendakwa pemberian wang sogokan itu diketahui menerusi kumpulan WhatsApp bertarikh 21 Nov dan 21 Dis tahun lepas serta 4 Jan tahun ini, iaitu pengundi yang mengundi responden pada PRU15 akan memperoleh RM150.

Ketika prosiding di hadapan Hakim Datuk Faizah Jamaludin hari ini, peguam Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mewakili Radzi membantah petisyen berkenaan atas alasan pempetisyen gagal membuktikan butiran peribadi pengguna aplikasi WhatsApp.

"Tiada nama penuh, nombor kad pengenalan dan alamat serta pempetisyen gagal memplidkan butiran untuk menunjukkan apa-apa pembayaran oleh ejen responden atas arahan responden," kata peguam itu.

Sementara itu, peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun berkata bantahan awal yang difailkan oleh responden pada 12 Feb lepas, tidak mempunyai merit dan petisyen itu perlu didengar melalui perbicaraan penuh.

"Kami berhujah bahawa satu-satunya cara untuk hakim Pilihan Raya menentukan sama ada individu itu yang memberikan wang bagi pihak responden atau sebaliknya ia adalah isu yang boleh dibicarakan yang patut diselesaikan dengan cara pemeriksaan saksi ketika perbicaraan petisyen," katanya.
Selepas mendengar hujahan pihak-pihak terlibat, Hakim Faizah menetapkan 10 Mac ini untuk keputusan bantahan awal.

Pada PRU15, Radzi yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN), menang di kerusi Parlimen Putrajaya dengan memperoleh 16,002 undi, menewaskan penyandang empat penggal kerusi itu, Tengku Adnan yang mendapat 13,692 undi.
-- BERNAMA