"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Murid maut dirempuh kereta guru di sekolah

Agensi

Wuhan: Seorang murid Tahun Satu di China, maut selepas dirempuh kereta dipandu guru di perkarangan sekolahnya, Selasa lalu.

The Straits Times melaporkan, mangsa yang tidak didedahkan namanya dalam media tempatan itu meninggal dunia akibat kecederaan selepas dibawa ke hospital untuk rawatan kecemasan.

Menurut Biro Pendidikan Daerah Hanyang dan sekolah, insiden berlaku di Sekolah Rendah Hongqiao dekat daerah Hanyang, sembilan minit sebelum kelas pertama pada petang.

Pemandu kereta yang juga seorang guru berusia 20-an itu ditahan polis untuk membantu siasatan.

Menurut Biro Pendidikan, mangsa bukan salah seorang murid kepada guru berkenaan.

Ibu mangsa dalam temu bual video yang diterbitkan di portal berita The Paper berkata, anaknya sedang makan tengah hari di sekolah pada hari kejadian.

Pada 2 petang, ibu mangsa menerima panggilan daripada guru besar memaklumkan anaknya dilanggar sebuah kereta.

Dia bergegas ke hospital sebelum diberitahu yang doktor tidak dapat menyelamatkan anaknya.

Ibu bapa kanak-kanak itu mempersoalkan sama ada guru itu berada di bawah pengaruh alkohol.

Laporan mengatakan bahawa guru itu mempunyai kelas pada pagi itu dan tidak minum semasa makan tengah hari.

Dia kemudiannya memandu keretanya dari garaj bawah tanah dan berhenti kira-kira 10 meter dari pintu pagar sekolah untuk menunggu rakan sekerja.

Mereka sepatutnya menghadiri sesi latihan di luar sekolah.

Ketika itu, murid sedang berehat sebentar sebelum memulakan kelas petang pada 2 petang.

"Ketika guru itu memberhentikan keretanya, seorang kanak-kanak berlari di hadapan kenderaan dan mencangkung, dan berada di situ selama kira-kira dua minit," kata wakil Biro Pendidikan dalam temu bual video itu.

Guru itu memandu selepas rakan sekerjanya masuk ke dalam keretanya dan kemudian melanggar murid berkenaan.
-hmetro 

Tindakan Muhyiddin menawarkan jawatan kepada KJ tak disenangi akar umbi

Akar umbi bersatu ‘tak senang’ tawaran Muhyiddin kepada KJ

Elill Easwaran

PETALING JAYA: Akar umbi Bersatu meluahkan rasa tidak senang hati apabila Khairy Jamaluddin ditawarkan kerusi dalam Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti kerana merasakan ada individu lain lebih layak untuk jawatan itu.

Dua pemimpin bahagian, yang enggan didedahkan memberitahu FMT, tawaran itu tidak disambut baik kerana Khairy bukan ahli Bersatu.

“Terdapat ramai individu lain yang bekerja keras untuk parti mendapatkan tempat itu, dan kini ia ditawarkan kepada seseorang yang belum menjadi ahli Bersatu,” kata seorang ketua bahagian Selangor.

Beliau berkata, walaupun Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mungkin membincangkan perkara itu dengan pemimpin kanan, parti juga sepatutnya melibatkan akar umbi dalam perbincangan sebelum mengumumkan tawaran itu.

“Apabila tiba pilihan raya, akar umbi yang paling banyak melakukan kerja, daripada bercakap dengan pengundi sehingga memasang bendera, dan sebagainya.

“Nampak tidak elok apabila keputusan sebesar ini dibuat tanpa mendengar suara akar umbi,” katanya.

Seorang lagi pemimpin bahagian dari Negeri Sembilan menjangkakan parti akan menawarkan Khairy kerusi pada PRN jika beliau menerima tawaran Muhyiddin.

“Ini akan mengecewakan ramai ahli, yang mungkin berharap diletakkan sebagai calon pada PRN,” katanya.

Tindakan sedemikian mungkin menimbulkan protes dalaman dan mengancam perpaduan parti, tambahnya.

Bagaimanapun, seorang MPT yang enggan dinamakan berkata tawaran itu adalah langkah positif yang akan menguntungkan parti.

“Kami akan menghadapi pilihan raya di enam negeri, jadi mempunyai seseorang seperti Khairy di pihak kami adalah baik untuk parti.

“Beliau dilihat menjadi pilihan rakyat. Beliau seorang tokoh popular dan itu bagus untuk kita, terutama pada masa sukar seperti sekarang,” katanya merujuk kepada dakwaan beberapa pemimpin parti atas dakwaan rasuah.

Ketua sayap bersekutu Bersatu juga mengalu-alukan segala usaha yang bertujuan meningkatkan peluang parti untuk menang pada pilihan raya.

“Walaupun Bersatu mempunyai ramai pemimpin berkarisma dan berpengalaman dalam Majlis Pimpinan Tertingginya, pemimpin kita mesti mengambil kira nilai Khairy dari segi membawa lebih banyak undi,” kata Chong Fat Full.

Minggu lalu, Muhyiddin mempelawa Khairy menyertai Bersatu dan menawarkannya kerusi MPT.

Bagaimanapun, pada Isnin Khairy berkata beliau memerlukan masa untuk mempertimbangkan masa depan politiknya.

Khairy berkata, beliau tidak mahu sebarang keputusannya dibuat berdasarkan emosi atau membalas dendam, malah menyifatkan keputusan untuk memilih parti politik bukanlah sesuatu yang boleh diambil ringan.

"Terlajak perahu boleh diundur, terlajak perbuatan padah akibatnya"

Mohd Rafi Mamat
bhnews@bh.com.my

Banduan, Aidil (bukan nama sebenar) menjalani hukuman 13 tahun penjara dan tiga sebatan kerana kesalahan merogol kekasih bawah umur.- Foto NSTP/Mohd Radi Mamat
KUANTAN: "Walaupun hanya tiga sebatan diterima pada 2014 rasa sakitnya seolah hingga kini masih terasa," kata banduan yang hanya dikenali sebagai Aidil, 42.

Kesalahan merogol gadis bawah umur pada 2012 mengakibatkan dia menerima hukuman penjara 13 tahun dan tiga sebatan.

Menurut Aidil, kesan parut hukuman rotan yang diterima kekal sehingga kini dan dipercayai akan terus kekal hingga akhir hayatnya.

"Saya terpaksa tidur meniarap hampir seminggu selepas hukuman sebat diterima, detik berkenaan amat memberi kesan dan rasa insaf. Keseronokan yang dirasai seketika, berakhir dengan derita sehingga kini, hanya Tuhan sahaja mengetahui perasaan saya ketika dijatuhkan hukuman," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Katanya, sukar untuk diterima apa yang berlaku namun takdir sudah tentukan, rasa menyesal dengan perbuatan yang dilakukan tidak berguna lagi - "terlajak perahu boleh diundur, terlajak perbuatan padah akibatnya."

Aidil berkata, hukuman yang diterima mengubah segalanya apabila dia bukan sahaja dijatuhkan hukuman penjara dan sebatan malah turut kehilangan pekerjaan sebagai penjawat awam.

"Kejadian suka sama suka itu berlaku pada 2012 tetapi saya disabitkan kesalahan merogol kekasih sendiri bawah umur yang ketika itu berusia 18 tahun.

"Saya menjalani hukuman tiga sebatan pada 2014 di Penjara Kajang, Selangor kemudian dipindahkan ke Penjara Sungai Buloh, Selangor dan Penjara Sungai Udang, Melaka.

"Kini saya berada di Penjara Penor dan akan bebas pada 2025. Kejadian 12 tahun lalu itu begitu sukar untuk diterima kerana ia meragut semua impian saya," katanya kini reda hukuman diterima.

Katanya, sebelum ini dia melihat banduan yang melakukan pelbagai kesalahan berada dalam penjara namun kali ini dia sendiri berada di sebalik tirai besi dalam tempoh masa yang panjang selain turut 'dihadiahkan' dengan tiga sebatan.

"Lapan tahun sebagai penjawat awam di Selangor kini tinggal kenangan, tanggungjawab menjaga keselamatan yang diamanahkan tidak dapat dilakukan dengan berkesan, sebaliknya saya sendiri melakukan kesalahan yang dianggap memalukan," katanya.

Menurutnya lagi, dia bersyukur apabila berpeluang mengikuti kelas agama selain latihan kemahiran yang disediakan pihak penjara.

"Saya tidak sabar untuk bebas dan memulakan kehidupan baharu. Saya ingin berada bersama keluarga yang banyak memberi sokongan sepanjang saya menjalani hukuman. Mereka datang melawat saya dan baru-baru ini berpeluang mengikuti program jalinan kasih sempena Aidilfitri anjuran Penjara Penor.

"Saya ingin menasihatkan kepada remaja supaya tidak terlalu bebas dalam pergaulan terutama dengan kekasih, akibatnya buruk apabila boleh mengundang kepada perbuatan maksiat. Jadikan agama sebagai panduan hidup," kata anak keempat daripada enam beradik itu.