"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Komen pegawai McD kaitkan akta hasutan cetus tanda tanya

Malaysiakini

Rangkaian restoran francais makanan segera McDonald adalah antara yang terjejas teruk akibat kempen mendesak rakyat Malaysia memboikot syarikat yang didakwa membiayai Israel, berikutan serangan berterusan rejim Zionis ke atas Palestin.

Sebagai tindak balas, seorang eksekutif kanan di McDonald Malaysia, Zaid Hasman baru-baru ini mendedahkan pihaknya telah membawa isu itu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

Hantaran Zaid yang juga ketua pegawai teknologi McDonald Malaysia di media sosial pada 3 Nov itu bagaimanapun menimbulkan persoalan.

Zaid mendakwa Akta Hasutan akan digunakan terhadap mereka yang menyebarkan 'fitnah' terhadap syarikat itu.

"Terima kasih di atas sokongan pihak SKMM bersama-sama membendung isu ini.

“Dalam masa yang sama, pihak McDonald Malaysia telah mengenal pasti lebih 60 individu yang telah menyebarkan fitnah dan akan di dakwa di atas akta hasutan,” katanya pada hantaran di laman Facecook.

Hantaran itu disertakan dengan gambar kumpulan lima lelaki, termasuk Pengerusi SKMM Mohamad Salim Fateh Din dan Zaid sendiri.

Menurut hantaran Zaid, gambar itu dirakam semasa lawatan wakil McDonald Malaysia ke ibu pejabat SKMM di Cyberjaya.

Bagaimanapun, hantaran Zaid itu telah diturunkan.

Akta Hasutan 1948 undang-undang era penjajah yang menjenayahkan ucapan dengan "kecenderungan menghasut" dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara minimum tiga tahun, selain membenarkan kerajaan menyekat media dalam talian yang disifatkan sebagai menghasut.

McDonald Malaysia enggan mengulas ketika dihubungi.

"Kami telah berkongsi pertanyaan anda dengan pelanggan kami. Bagaimanapun, mereka tidak dapat berkongsi maklum balas buat masa ini," kata seorang kakitangan perhubungan awam yang mengendalikan perhubungan media untuk rangkaian restoran makanan segera itu.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Razarudin Husain memaklumkan pihak berkuasa tidak menerima sebarang laporan daripada McDonald Malaysia berhubung dakwaan fitnah terhadap mereka.

“Kami tidak menerima sebarang laporan sedemikian daripada McDonald setakat ini,” katanya melalui pesanan teks kepada Malaysiakini.

Malaysiakini juga telah menghubungi bahagian komunikasi korporat SKMM untuk mendapatkan penjelasan tetapi masih belum menerima sebarang maklum balas.

Teresa Kok MP kedua ambil tindakan mahkamah ke atas Mastura

Raveena Nagotra, Alyaa Alhadjri & Shakira Buang

Seorang lagi ahli parlimen DAP bakal memulakan tindakan undang-undang ke atas Siti Mastura Mohamad ekoran dakwaan dibuat pemimpin wanita PAS itu baru-baru ini.

Menurut Teresa Kok, dia akan memfailkan saman fitnah ke atas Siti Mastura "very soon" (tidak lama lagi).

Kok yang juga ahli parlimen Seputeh memberitahu media dia sudah menghantar surat tuntutan (LOD) dan memberikan tempoh yang wajar kepada Siti Mastura untuk meminta maaf dan menarik balik dakwaan dibuatnya.

Kata Kok, LOD tersebut dihantar pada 10 Nov lalu dan tempoh yang diberikan berakhir hari ini.

"Sampai sekarang kita tak lihat dia ada menarik balik kenyataannya yang berbau (menyentuh) agama, perkauman dan memfitnah," katanya pada sidang media di parlimen hari ini.

Turut hadir beberapa ahli parlimen termasuk RSN Rayer (Jelutong) dan Young Syefura Othman (Bentong).

Baru-baru ini tular ucapan dibuat Siti Mastura yang mendakwa Kok mempunyai hubungan persaudaraan dengan isteri pengerusi DAP, Betty Chew.

Siti Mastura juga membuat dakwaan beberapa pemimpin kanan DAP - termasuk setiausaha agung parti itu Anthony Loke, naib pengerusinya Nga Kor Ming dan Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham - ada pertalian kekeluargaan.

Paling mengejutkan ialah apabila Siti Mastura menuduh veteran DAP, Lim Kit Siang, dan anaknya Lim Guan Eng, sepupu kepada bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya, Chin Peng.

Ditanya bila saman berkenaan akan difailkan di mahkamah, Kok berkata: "Very soon."

Berdasarkan LOD yang disediakan firma guaman SN Nair & Partners itu, Kok menuntut Siti Mastura menarik balik dan membuat permohonan maaf tanpa syarat atas kenyataan yang dianggap fitnah.

Kok juga menuntut pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Dewan Muslimat PAS Pusat itu membayar ganti rugi sebanyak RM10 juta.

Pada 14 Nov lalu peguam Siti Mastura, Ahmad Amzar Ahmad Azlan mengesahkan menerima empat LOD, termasuk daripada Kok. Tiga lagi merupakan LOD daripada Guan Eng, Kit Siang dan Chew.

Bagaimanapun peguam terbabit berkata pihaknya belum meneliti LOD berkenaan.

Sebelum Kok, Guan Eng sudah memulakan tindakan mahkamah ke atas Siti Mastura pada 10 Nov lalu.

Apa kaitan ZUS Coffee dengan gambar logo, tolong jawab

story-image
Jenama kami bukan sempena dewa Yunani, kata ZUS Coffee

Wong Kang Jia

Rangkaian kedai kopi tempatan yang popular, ZUS Coffee, tampil menjelaskan asal-usul jenama itu semasa sambutan ulang tahun keempatnya semalam ketika ada sesetengah pihak mahu ia diboikot.

Gesaan itu dibuat oleh segelintir pihak yang mendakwa syarikat tersebut menggunakan logo yang kononnya memaparkan dewa Yunani, Zeus, justeru ia wajar dijauhi.

Seruan itu dibuat selepas ramai yang memilih untuk beralih kepada ZUS Coffee berbanding Starbucks selepas rangkaian restoran antarabangsa itu mengambil tindakan ke atas kesatuan sekerjanya di AS kerana menyatakan sokongan terhadap Palestin.

Menjawab soalan media semasa acara berkenaan berlangsung di Sunway Pyramid Mall di Petaling Jaya, Selangor, Naib Presiden ZUS Coffee, Stephy Foong berkata syarikat itu "sangat sedih" dengan gesaan boikot yang digerakkan, terutamanya apabila semua cawangannya disahkan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Kami berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan sijil halal," katanya.

Tambah Stephy, mereka berusaha mendapatkan pengiktirafan daripada Jakim bukan kerana melibatkan faktor agama semata-mata bahkan atas sebab keselamatan menu yang dihidangkan.

Dia menambah nama jenama itu tidak merujuk kepada dewa Yunani sebaliknya dikonsepkan sebagai gabungan perkataan "semangat" (zeal) dan "kita" (us).

Hari ini, kata Stephy, perkataan itu merupakan akronim yang bermaksud nilai jenama - zealous, unity dan stop at nothing.

Dia menjelaskan acara sambutan ulang tahun itu sengaja dianjurkan enam bulan lebih awal dan bukanlah langkah mereka untuk memberi respon kepada gesaan boikot yang digerakkan pihak tertentu.

Syarikat itu juga, kata Stephy, memutuskan untuk meneruskan program berkenaan sebagai menghormati perjanjian yang dibuat dengan rakan kongsi mereka.

"Kami merasakan ia tidak adil untuk rakan kongsi, dan ia juga tidak adil untuk pasukan kami.

"Kami tidak mahu usaha mereka sia-sia, tambahan pula kami mempunyai komuniti sendiri untuk berkhidmat, dan saya percaya komuniti yang menyokong kami akan memahami apa yang kami lakukan," katanya lagi.

Pendapatan turun mendadak

ZUS Coffee - yang kini beroperasi di 197 lokasi di seluruh Malaysia - diasaskan di Kuala Lumpur pada 2019 oleh sekumpulan lapan usahawan Malaysia.

Pada Mac lalu mogul restoran dan jutawan Filipina Frank Lao membeli 35 peratus kepentingan dalam syarikat terbabit.

Gesaan boikot berkembang terhadap jenama yang dianggap menyokong Israel menular dalam kalangan pengguna Malaysia ketika keganasan terus meningkatkan di Palestin sejak 7 Okt lalu.

Antara jenama yang disasarkan ialah rangakaian restoran makanan segera McDonald's dan aplikasi Grab.

Kedua-dua syarikat terbabit menderma RM1 juta setiap satu kepada tabung untuk menyokong kerja-kerja kemanusiaan di Palestin sebagai tindak balas terhadap gesaan boikot secara besar-besaran.

Walaupun McDonald's Malaysia adalah milik orang Islam, McDonald's menjadi sasaran selepas francais Israel memberikan makanan percuma kepada askar rejim berkenaan.

Sementara itu, Grab menjadi sasaran selepas isteri pengasasnya, Chloe Tong, memuat naik hantaran di Instagram bagi menyatakan rasa sedih terhadap apa yang berlaku di Israel.

Chloe juga menyatakan Israel adalah negara yang dicintainya selepas menghabiskan masa bercuti di sana.

Walaupun kesan sebenar pemboikotan yang berterusan terhadap Israel atau syarikat tertentu sukar untuk dianggarkan, beberapa pekerja syarikat terbabit memberitahu Malaysiakini, pendapatan mereka berkurangan secara mendadak.