"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bunuh wanita senegara, 5 warga Myanmar ditahan

BERNAMA

Kuala Lumpur: Polis menahan lima warga Myanmar bagi membantu siasatan kes bunuh seorang wanita negara sama yang mayatnya ditemukan berlumuran darah di dalam bilik sewa di kawasan perindustrian Bandar Teknologi Kajang dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata kesemua suspek termasuk dua wanita berusia 28 hingga 45 tahun itu ditahan secara berasingan di antara 1 tengah hari hingga 6.30 petang di kawasan Bandar Teknologi dan Semenyih.

Beliau berkata pihaknya turut menjumpai dan merampas senjata iaitu sebilah pisau serta pakaian daripada seorang suspek lelaki.

"Laporan penemuan mayat wanita itu diterima melalui panggilan daripada seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun pada 1.09 pagi memaklumkan mangsa yang berumur 40 tahun ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah dipercayai dibunuh di dalam biliknya.

"Hasil siasatan pihak polis di tempat kejadian menemukan mangsa, yang telah disahkan meninggal dunia, dengan 12 kesan tikaman di seluruh tubuh badan diselimuti tilam toto di dalam bilik sewa," menurutnya dalam kenyataan di sini.

Naazron berkata maklumat saksi kejadian iaitu jiran yang turut menyewa di bilik lain rumah tersebut menyatakan terdengar bunyi bising iaitu suara mangsa menjerit meminta tolong sebelum suspek, disyaki lelaki, melarikan diri dengan memegang sebilah pisau turun dari bangunan rumah sewa itu.

"Hasil bedah siasat yang dijalankan oleh pakar patologi Hospital Serdang pada 10 pagi mengesahkan mangsa mengalami kecederaan akibat tikaman benda tajam di abdomen sehingga menyebabkan kehilangan darah yang banyak.

"Punca kejadian adalah dipercayai akibat cemburu. Kesemua suspek akan direman esok bagi membantu siasatan," katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes itu boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat kes ASP Mohamad Hafeez Hamzah di talian 019-6556 536.

Beg berisi wang tunai RM1 juta hilang

Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Polis mengesahkan menerima laporan berhubung kehilangan beg berisi wang tunai RM1 juta dalam kejadian di Ampang Point, di sini, hari ini.

Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, wang berkenaan dilaporkan hilang selepas proses kutipan oleh sebuah syarikat keselamatan dari sebuah bank di Ampang Point.

"Kertas siasatan dibuka bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, berdasarkan maklumat yang tersebar kejadian berkenaan berlaku ketika pemandu van keselamatan menyedari pintu van terbuka.

Individu berkenaan membuat pemeriksaan dan mendapati satu beg berisi wang tunai tiada dipercayai terjatuh.

Empat pelajar cedera bergaduh guna kapak

KOSMO
Dua mangsa mengalami cedera parah manakala dua lagi cedera ringan. - Getty Images
PARIS – Sekurang-kurangnya empat pelajar sekolah menengah cedera selepas sebilah kapak digunakan sebagai senjata pergaduhan di dalam sebuah kereta api di tenggara Paris, lapor saluran berita The Guardian semalam. 

Kejadian berlaku sekitar pukul 8 pagi (waktu tempatan) di stesen Ozoir-la-Ferrière ketika mereka dalam perjalanan ke sekolah. 

Menurut seorang jurucakap polis tempatan, seorang mangsa mengalami cedera parah di kepala, manakala seorang lagi putus tangan. 

“Dua mangsa lain hanya cedera ringan. 

“Mereka dibawa ke hospital berdekatan untuk rawatan lanjut,” jelasnya. 

Tambah jurucakap sama, polis turut merampas beberapa senjata tajam lain termasuk pisau, pedang samurai dan kayu besbol. 

“Seorang suspek utama berusia 16 tahun ditahan di rumahnya.

“Punca mereka bergaduh masih belum jelas,” tambahnya. – AGENSI