"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mastura, pemimpin Pas elok jumpa tiga pemimpin DAP

Harapandaily

 AHMAD JAILANI ABDUL GHANI

Semalam, tersebar berita YB Dr Mastura telah tewas dalam kes saman fitnah terhadapnya oleh tiga pemimpin DAP.

Mahkamah Tinggi Pulau Pinang telah memerintahkan YB Dr Mastura membayar jumlah keseluruhan melebihi RM800,000.00.

Dari segi undang-undang, jikalau YB Mastura tidak berpuas hati dengan keputusan itu, beliau berhak membuat rayuan ke peringkat seterusnya.

Ucapan mengaitkan pemimpin DAP tersebut dengan Chin Peng sebagai sepupu adalah jelas dusta.

Sukar untuk dipertahankan sama ada menggunakan pembelaan “justification” atau “fair comments” sekali pun kerana ia sangat jelas fitnah.

Mana-mana orang yang sihat dan menggunakan akalnya akan menolak ucapan seperti ini.

Tidak perlu kepada sebarang kajian mendalam setinggi kajian ijazah kedoktoran pun untuk mengetahui betapa dustanya tuduhan ini.

Saya sebagai seorang yang seringkali dijemput oleh Pas untuk menyampaikan ceramah dalam program parti (walaupun saya tiada sebarang jawatan dalam parti) kerap berada sepentas dengan pemimpin Pas yang menceritakan keadilan Islam.

Di antara cerita keindahan keadilan Islam yang disampaikan oleh para pemimpin Pas (termasuk saya sendiri) ialah kisah keadilan pemerintahan para khalifah Islam terhadap rakyat yang bukan beragama Islam.

Qadhi Syuraih telah dilantik oleh Khalifah Umar Al Khattab untuk mengadili pertikaian antara Khalifah Umar dan seorang Arab Badwi berkaitan jual beli kuda yang didakwa cacat oleh Khalifah Umar.

Khalifah ingin memulangkan semula kuda cacat itu tetapi si penjual (Arab Badwi) mengatakan bahawa kuda itu tidak cacat sewaktu dijual.

Fakta ini diakui oleh Khalifah. Qadhi Syuraih membuat keputusan yang berpihak kepada Arab Badwi itu.

Begitulah juga yang berlaku pada zaman Khalifah Ali bin Abi Talib berkaitan kes kehilangan baju besinya.

Tertuduh dalam kes itu adalah seorang kafir zimmi yang didapati cuba menjualnya di Pasar Kufah.

Qadhi Syuraih membuat keputusan yang memihak kepada kafir zimmi itu dan menolak cubaan Khalifah Ali menjadikan anaknya Saidina Hasan sebagai saksi.

Oleh kerana itu, saya berpendapat bahawa sepatutnya Dr Mastura membuktikan bahawa beliau berpegang kepada keadilan Islam.

Walaupun tiga orang pemimpin DAP itu bukan Islam, tetapi ajaran Islam yang murni ini tidak menghalalkan fitnah dilakukan kepada sesiapa pun termasuk orang bukan Islam.

Sebaiknya, pemimpin Pas bersama YB Dr Mastura pergi berjumpa dengan tiga orang pemimpin DAP tersebut, meminta maaf dan membayar jumlah wang yang telah diperintahkan itu sebagai contoh yang baik untuk diteladani sebagaimana kisah-kisah teladan tentang keadilan pemerintahan Islam yang seringkali berkumandang di pentas-pentas politik.

Inilah masa yang sesuai untuk membuktikan kejujuran perjuangan Islam yang dijuarai oleh Pas selama ini.

Penulis adalah peguam yang sering mendapat undangan untuk ceramah di pentas Pas.

Lima staf hospital kerajaan didakwa terima rasuah pengurusan mayat

NOR SHAFAWATI YUP
Seramai lima penjawat awam yang bertugas di Jabatan Forensik sebuah hospital kerajaan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM600 hingga RM2,250 daripada syarikat berkaitan perkhidmatan pengurusan mayat sejak 2021. - FOTO OLEH MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
SEREMBAN – Lima penjawat awam yang bertugas di jabatan forensik sebuah hospital kerajaan di sini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM600 hingga RM2,250 daripada syarikat berkaitan perkhidmatan pengurusan mayat sejak 2021.

Lima tertuduh tersebut ialah Penolong Pegawai Perubatan, N.S Sharvinder Singh, 40, serta masing-masing Pembantu Perawatan Kesihatan, S.Vickneswari , 55, P.Veeramaly, 50, Mohd. Nor Ali, 36 dan Wan Mohd. Fazlan Shah Shasim, 41.

Kesemua tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Mengikut pertuduhan kelima-kelima tertuduh sebagai pegawai badan awam iaitu Penolong Pegawai Perubatan U32 serta Pembantu Perawatan Kesihatan U14 dan U11 di Jabatan Forensik sebuah hospital kerajaan di sini telah secara rasuah menerima suatu suapan iaitu wang berjumlah RM600 hingga RM2,250 menerusi traksaksi dalam talian ke dalam akaun bank milik mereka.

Suapan itu diterima daripada dua individu yang merupakan pemilik syarikat berkaitan pengurusan mayat.

Ia sebagai upah untuk memberikan maklumat kematian dan waris si mati hospital kerajaan tersebut kepada individu berkenaan.

Kesalahan itu dilakukan di beberapa buah bank di sekitar Seremban, Kuala Pilah dan Mantin di sini di antara 5 Jun 2021 hingga 9 Februari 2023.- KOSMO! ONLINE

Datuk Othaman didenda menceroboh, lakukan ugutan jenayah

Bernama

KANGAR: Seorang lelaki warga emas bergelar Datuk didenda RM5,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan iaitu melakukan pencerobohan jenayah dan ugutan jenayah pada Ogos tahun lepas.

Majistret Ana Rozana Mohd Nor menjatuhkan hukuman denda RM2,000 terhadap Othaman Mohamed, 63, bagi pertuduhan pertama serta memerintahkan warga emas itu dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Bagi pertuduhan kedua, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM3,500 dan jika gagal membayar denda tersebut, warga emas itu perlu menjalani hukuman penjara lapan bulan.

Mengikut pertuduhan pertama, Othaman dituduh melakukan pencerobohan jenayah dengan berada dalam kawasan rumah dimiliki seorang lelaki berusia 42 tahun di Arau pada 10.23 malam, 29 Ogos 2023.

Sehubungan itu, dia yang berasal dari Banting, Selangor didakwa mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum enam bulan atau didenda yang boleh sampai RM3,000 atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, berdasarkan pertuduhan kedua, warga emas itu dituduh melakukan ugutan jenayah dengan menakutkan lelaki sama seperti dalam pertuduhan pertama, dengan niat hendak menyebabkan kegentaran kepada lelaki itu di lokasi, masa dan tarikh sama.

Othaman didakwa berbuat demikian di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Azira Aziz yang mewakili Othaman merayu hukuman denda paling minima terhadap kedua-dua pertuduhan itu, dengan memaklumkan antara lain warga emas itu mempunyai tanggungan seorang isteri dan empat anak masih belajar di universiti.

Peguam itu juga memberitahu mahkamah bahawa Othaman kini hanya berniaga kecil-kecilan dengan pendapatan tidak menentu dan warga emas itu pernah memiliki sebuah syarikat agensi pelancongan, namun akibat kerugian semasa pandemik COVID-19 syarikat itu terpaksa ditutup.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya yang mengendalikan kes itu Alia Suzila Chek Pi memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.

-- BERNAMA