"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis tahan anggota tentera 'tumbuk' pemandu wanita di Senawang

Bernama

Tangkap layar video tular memaparkan seorang lelaki dipercayai menumbuk seorang wanita selepas dia dikatakan tidak sempat mengelak lalu melanggar seorang wanita dan seorang kanak-kanak perempuan. - Gambar/ Media sosial

SEREMBAN: Polis menahan seorang anggota tentera selepas didakwa menggunakan kekerasan terhadap seorang pemandu wanita sehingga mendatangkan kecederaan akibat kemalangan di Jalan Persiaran Senawang 4, dekat Taipan, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban Mohamad Hatta Che Din berkata suspek lelaki berusia 35 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban petang tadi untuk siasatan mengikut Seksyen 323 dan 427 Kanun Keseksaan.

"Suspek dikatakan menggunakan kekerasan terhadap mangsa yang berusia 28 tahun sehingga menyebabkan lebam di bahagian rusuk sebelah kanan dan bengkak di bahagian belakang kepala.

"Kejadian berlaku apabila mangsa, yang memandu kereta Perodua Axia dalam perjalanan dari Mydin Senawang ke Senawang, tidak sempat mengelak ketika isteri suspek berusia 34 tahun dan anak perempuannya berusia tujuh tahun tiba-tiba melintas dari arah kiri ke kanan jalan kira-kira pukul 10.15 malam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata akibat pelanggaran itu, wanita berkenaan dan anaknya mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar di sini untuk rawatan lanjut dan kes disiasat mengikut Kaedah 10, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

Terdahulu, satu video berdurasi 22 saat tular di aplikasi TikTok, memaparkan seorang lelaki dipercayai bertindak menumbuk seorang wanita selepas dia dikatakan tidak sempat mengelak lalu melanggar seorang wanita dan seorang kanak-kanak perempuan.

Dalam pada itu, Mohamad Hatta meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian itu kerana ia boleh mencetuskan ketegangan.

Beliau turut meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kes itu untuk menghubungi pegawai penyiasat, Insp. Mohd Khairul Aswad Mazlan di talian 011-10843873 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

4WD cuba rempuh 3 anggota, polis lepas tembakan

FMT Reporters

Tiga suspek menaiki kenderaan itu enggan berhenti dalam rondaan cegah jenayah.
Pemangku Ketua Polis Kuching, Merbin Lisa, berkata kenderaan dinaiki tiga suspek terbabas selepas terkena tembakan. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA: Satu das tembakan dilepaskan berikutan tindakan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) cuba merempuh tiga anggota polis, di Jalan Green, Kuching.

Pemangku Ketua Polis Kuching, Merbin Lisa, berkata kereta jenis Mitsubishi Triton dan Perodua Bezza diarah berhenti dalam rondaan cegah jenayah, namun pemandu 4WD enggan, dalam kejadian sekitar 3.20 pagi tadi.

“Anggota polis mengarahkan kedua-dua pemandu memberhentikan kenderaan, namun mereka enggan menyebabkan anggota polis mengejar Mitsubishi Triton itu hingga ke kawasan taman perumahan berhampiran.

“Apabila tiba di jalan itu (Jalan Green), pemandu kereta itu bertindak agresif dengan membuat pusingan U dan cuba merempuh tiga anggota polis yang berada di atas jalan,” katanya menurut Bernama.

Beliau berkata, bagi mempertahankan diri, anggota polis telah melepaskan sedas tembakan ke arah Mitsubishi Triton itu menyebabkan kenderaan itu terbabas, sekali gus membawa kepada penahanan tiga lelaki berusia 39 hingga 43 tahun.

Merbin berkata, saringan air kencing mendapati semuanya positif dadah dengan dua daripadanya memiliki rekod berkaitan narkotik.

“Lelaki berusia 41 tahun mengalami kecederaan dan sedang dirawat di hospital. Polis turut merampas Mitsubishi Triton itu serta beberapa peralatan yang disyaki digunakan untuk kegiatan jenayah,” katanya.

Ketiga-tiga mereka kini direman hingga 3 April untuk siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Polis katanya sedang mengesan pemandu Perodua Bezza merah yang berjaya melarikan diri, justeru orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pusat Kawalan IPD Kuching menerusi talian 082-244444 atau Pegawai Penyiasat Kanan Chris Olsen Ramlee 013-8607572.

Mufti Perlis: Ya Allah, ambillah tindakan-Mu pada yang zalim

Malaysiakini 

Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin berdoa supaya Allah mengambil tindakan terhadap pihak yang zalim.

Doa itu dititipkan bersama video seorang penjaja belon terlibat dalam pergelutan dengan penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), menjelang tengah malam pada Jumaat.

“Ya Allah! Dalam kemuliaan Ramadan ini, kami memohon kepada-Mu, Engkau ambillah tindakan-Mu ke atas mereka yang zalim. 

“Mereka membiarkan apa yang jelas salah, tapi mereka berkeras kepada hamba-hamba-Mu yang lemah. Engkau berikan rezeki yang banyak kepada hamba-Mu yang kesusahan ini,” tulisnya.

Asri menulis komen itu ketika berkongsi semula video asal dari Facebook pemimpin pembangkang Shahidan Kassim. 

Video itu dirakam pembantu Shahidan yang melawat penjaja asal Pahang itu ketika dia mendapatkan rawatan di Hospital Serdang.

Terdahulu tular video pergelutan penjaja itu dan pegawai DBKL di tepi jalan di ibu negara. Suasana kecoh dengan kemarahan peniaga lain serta orang ramai yang lalu-lalang.

DBKL mendakwa insiden bermula apabila penjaja belon itu menolak penguat kuasa dan tidak mengendahkan arahan beredar kerana mengganggu lalu-lintas.

DBKL mendakwa penguatkuasanya cuma mahu “menenangkan dan memisahkan penjaja terbabit daripada terus mengasari petugas penguat kuasa”.

Penjaja itu menafikan dia telah dihalau beberapa kali sebelum tindakan diambil.

“Tidak sama sekali. Tidak betul. Saya nak jumpa mereka pun saya takut,” katanya kepada seorang pegawai pemimpin pembangkang Shahidan Kassim.

‘Perlukah lanyak sampai begitu?’

Sementara itu, dalam ulasan lain awal pagi tadi, Asri mengakui tiada siapa yang boleh melanggar undang-undang.

Bagaimanapun, katanya, terdapat budi bicara dalam penguatkuasaannya.

“Perlukah lanyak sehingga sedemikian cara?” soalnya tanpa menyebut kes penjaja belon itu secara khusus.

Katanya, pesalah boleh disaman atau dibawa ke mahkamah.

Asri mengingatkan penyokong kerajaan terhadap peristiwa Arab Spring yang dicetuskan oleh insiden melibatkan peniaga kecil.

“Mereka jangan lupa bahawa kejatuhan kerajaan-kerajaan Arab dalam Arab Spring bermula dengan seorang peniaga kecil di Tunisia yang memprotes kezaliman ke atas dirinya apabila kereta sorong miliknya dirampas oleh penguatkuasa tempatan. 

“Bantahannya telah mencetuskan kebangkitan besar. Belajar dari sejarah, jangan lupa diri,” katanya.