"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelantan: Pemandu maut, 7 warga Myanmar cedera ketika cuba larikan diri

FMT Reporters

Tujuh warga Myanmar itu dipercayai baru diambil dari sebuah pangkalan haram di kawasan sempadan dekat Sungai Golok.
Keadaan Proton Perdana dinaiki seorang lelaki tempatan dan tujuh warga Myanmar selepas terbabas di Kampung Kebakat, Tumpat, semalam. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA: Seorang lelaki tempatan dipercayai tekong darat maut, manakala tujuh pendatang asing tanpa izin (Pati) cedera dalam kemalangan di Kampung Kebakat, Tumpat pada 6.50 pagi semalam.

Tujuh warga Myanmar berusia 20 hingga 42 tahun itu dipercayai baru diambil dari sebuah pangkalan haram di kawasan sempadan dekat Sungai Golok.

Ketua Polis Tumpat, Mohd Khairi Shafie, berkata tujuh warga asing itu menaiki Proton Perdana dipandu warga tempatan berusia 34 tahun berkenaan.

Tetapi, beliau berkata, pergerakan mereka berjaya dikesan sebelum Agensi Penguatkuasaan Maritim mengekori kenderaan itu yang menghala ke Kota Bharu.

Menurutnya, kereta sarat penumpang itu terbabas ketika cuba melarikan diri dan melanggar longkang konkrit.

“Semuanya cedera dan dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu, manakala pemandu meninggal dunia ketika rawatan.

“Kita percaya tujuh Pati itu ingin dibawa ke suatu tempat dengan menghala ke Kota Bharu selepas diambil dari pangkalan haram di sini,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, kemalangan itu disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala tujuh Pati masih dirawat itu disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Orang ramai mempunyai maklumat berkaitan diminta ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Tumpat atau menghubungi pegawai penyiasat trafik Muhammad Luqman Al-Hakim Awang di talian 09-7257222.

Tetamu terkejut badak sumbu hadir majlis perkahwinan

KOSMO!
SEEKOR badak sumbu memasuki lokasi majlis perkahwinan.- Foto Instagram/nepalinlast24hr
KATHMANDU – Seekor badak sumbu mencuri tumpuan ramai apabila memasuki lokasi sebuah majlis perkahwinan di Nepal, lapor laman berita Hindustan Times hari ini.

Kehadiran haiwan tersebut menyebabkan tetamu-tetamu berasa terkejut ketika ia dengan tenang berjalan melalui tempat itu.

Satu rakaman video tular di media sosial menunjukkan seekor badak sumbu dewasa berjalan memasuki lokasi tersebut. 

Klip video itu dikongsi oleh pengguna Instagram menggunakan akaun @nepalinlast24hr dan sejak itu telah mendapat mendapat ribuan tontonan serta komen.

“Kemasukan ‘wild card’ (haiwan liar),” kata seorang netizen.

“Itulah yang anda panggil kehadiran masuk secara besar-besaran,” kata seorang netizen. – AGENSI 

Rafizi masih boleh main peranan besar di luar Kabinet

Predeep Nambiar

PETALING JAYA: Bekas timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli, dijangka terus berpengaruh dalam parti itu walaupun telah meletakkan jawatan sebagai menteri ekonomi, kata bekas ketua penerangan Umno, Shahril Hamdan.

Shahril berkata, Rafizi masih mempunyai nilai tersendiri dalam usaha kempen PKR, biarpun tewas dalam pemilihan jawatan nombor dua parti kepada Nurul Izzah Anwar baru-baru ini.

“Rafizi masih boleh memainkan peranan sebagai salah seorang tukang kempen dalam PKR yang menyumbang kepada perjuangan parti dan tidak dilihat melarikan diri,” katanya dalam episod terbaru audio siar Keluar Sekejap yang dirakam sebelum Rafizi mengumumkan peletakan jawatannya.

Sebelum pemilihan parti, Rafizi menyatakan bahawa beliau akan meletak jawatan sebagai menteri ekonomi dan kembali menjadi Ahli Parlimen biasa sekiranya tewas dalam pemilihan timbalan presiden.

Shahril berkata, tindakan Rafizi meletak jawatan tidak harus dilihat sebagai tanda merajuk atau tidak lagi berfungsi, sebaliknya satu langkah untuk terus menyumbang dari luar kerajaan.

“Beliau masih boleh mewujudkan gerakan atau gelombang. Atas sebab itu saya rasa penting untuk beliau fikirkan pilihan itu.

“Berbeza dengan teknokrat seperti Senator Tengku Zafrul Aziz (menteri pelaburan, perdagangan dan industri) atau Senator Amir Hamzah Azizan (menteri kewangan II) yang tidak pernah memegang jawatan kanan parti, Rafizi mempunyai kekuatan politik sebenar,” katanya.

Shahril turut menolak dakwaan penganalisis bahawa keputusan pemilihan PKR baru-baru ini mencerminkan kemenangan calon mesra akar umbi berbanding mereka yang dilihat sebagai elit.

“Hanya kerana seseorang itu intelektual atau idea yang baik dalam pembinaan dasar, tidak bermakna mereka tidak mesra akar umbi. Ada yang mempunyai kedua-duanya – kekuatan intelek dan hubungan dengan rakyat,” katanya yang memberi contoh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad.

“Terdapat dakwaan bahawa Nik Nazmi tidak berkhidmat dengan baik di Setiawangsa. Kita tidak tahu. Kita bukan ahli PKR di sana. Tapi saya fikir pandangan itu terlalu malas.”

Nurul Izzah perlu buktikan kemampuannya

Sementara itu, pengacara bersama, Khairy Jamaluddin, berkata kemenangan besar Nurul Izzah mencetuskan semula isu nepotisme dalam PKR, memandangkan beliau merupakan anak kepada presiden parti merangkap Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Khairy yang juga bekas ketua pemuda Umno berkata, beban kini terletak di bahu Nurul Izzah untuk membuktikan bahawa kemenangan itu atas merit, bukan kerana hubungan kekeluargaan, dan ujian sebenar adalah pada PRU16 nanti.

“Sekarang ini beliau perlu buktikan bukan sahaja kepada penyokong tetapi kepada pihak yang skeptikal bahawa beliau mampu menyamai atau mengatasi Rafizi dalam aspek tertentu.

“Jika tidak, persepsi itu akan kekal dan boleh membawa kesan jangka panjang yang serius,” katanya.