"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki berkopiah buat ‘wheelie’ depan polis diburu

KOSMO!
Lelaki tersebut secara santai mengangkat tayar tepi motosikal roda tiga sambil kenderaannya bergerak laju. - Kompas
JAKARTA – Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan tindakan berani seorang penunggang motosikal roda tiga melakukan aksi ‘wheelie’ dengan cara mengangkat tayar tepi di hadapan sekumpulan anggota polis, lapor laman berita Kompas semalam.

Kejadian berlaku di hadapan bangunan Institusi Adat Melayu (LAM) wilayah Riau, Sabtu lalu.

Berdasarkan video yang dimuat naik di platform TikTok, seorang lelaki yang hanya memakai kopiah putih tanpa topi keledar dilihat melalui jalan tersebut.

Dia kemudian secara santai mengangkat tayar tepi motosikal roda tiga sambil kenderaannya bergerak laju.

Lebih menghairankan ramai adalah aksi itu dibuat di hadapan sekumpulan anggota polis yang sedang bersiap sedia untuk berkawal menjelang ketibaan Ketua Polis Indonesia, Listyo Sigit Prabowo ke bangunan tersebut untuk satu acara.

Anggota polis yang berada di tempat kejadian kelihatan terkejut, namun mereka tidak dapat bertindak kerana perlu fokus untuk mengekalkan keadaan kondusif.

Ketua Polis Trafik Polis Pekanbaru, Komisioner I Made Juni Artawan ketika ditanya berkata, pihaknya sudah melihat video itu dan sedang memburu lelaki tersebut. – AGENSI 

CIA memuat naik gambar tiga keping syiling Malaysia pada akaun X, apa motifnya?

KOSMO!
PETALING JAYA – Tindakan Central Intelligence Agency (CIA) atau Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (AS) berkongsi sekeping gambar memaparkan tiga keping duit syiling Malaysia di akaun X agensi tersebut menimbulkan tanda tanya.

Lebih menimbulkan tanda tanya adalah menerusi perkongsian tersebut dapat dilihat duit syiling 20 sen dengan lakaran orang lidi serta tanda S di kepala, duit syiling 10 sen dengan tulisan yang tidak difahami selain duit syiling 5 sen dengan tapak kaki haiwan.

Seorang pengguna X, @Ispitzionist turut mempertikaikan hantaran yang dibuat tersebut selain meminta Jabatan Perdana Menteri memantau perkara itu.

“Apakah sebenarnya yang cuba kamu sampaikan di sini? Adakah ini cara kamu nak kata, ‘Kami sedang memerhati kamu, Malaysia… jadi jangan cuba buat hal’?

“Hmmm @jpmgov_ patut arahkan MEIO (Pertubuhan Perisikan Luar Malaysia) pantau CIA ini sebab langsung tak boleh dipercayai,” ujarnya.

Melalui pautan di hantaran tersebut, agensi berkenaan meletakkan keterangan bertajuk Artifak Minggu Ini: Syiling yang Ditinggalkan di Patung Nathan Hale.

Ujar CIA, di luar pintu utama Bangunan Ibu Pejabat Asal, berdiri sebuah patung Nathan Hale, yang dipuji sebagai ‘pegawai risikan pertama negara’.

“Patung itu menggambarkan saat sebelum Hale dihukum mati, di mana seorang pemuda berusia 21 tahun yang bersedia menghadapi kematian demi negaranya dengan penuh kehormatan, tangan dan kaki terikat, wajahnya tegas, dan matanya memandang ke ufuk.

“Seiring waktu, satu tradisi telah berkembang di sekitar patung Hale, sebelum berangkat ke luar negara, pegawai CIA akan meninggalkan sekeping syiling di kaki patung itu,” katanya.

Katanya, menurut legenda, tindakan itu akan membawa tuah dan memastikan Hale menjaga keselamatan para pegawai dalam misi mereka.

“Lazimnya, pegawai akan meninggalkan sekeping syiling 25 sen AS kerana memaparkan wajah George Washington, panglima Hale semasa Perang Revolusi Amerika.

“Ada juga yang meninggalkan 76 sen sebagai penghormatan kepada tahun 1776, tahun Hale dihukum mati, atau wang syiling asing dengan tanda peribadi seperti ini,” katanya.

Antara peranan utama CIA adalah mengumpul maklumat risikan luar negara seperti menyiasat, memantau, dan menganalisis maklumat dari luar negara untuk melindungi keselamatan AS.

CIA juga menyokong dasar luar negara AS dengan memberi maklumat kepada Presiden dan pembuat dasar untuk membuat keputusan berasaskan risikan.

Selain itu, semakan mendapati CIA banyak melaksanakan operasi rahsia termasuk pengaruh politik atau operasi khas lain di luar negara jika diarahkan oleh kerajaan. – KOSMO! ONLINE

Provokasi anggota DBKL guna parang seorang lelaki ditahan

FMT Reporters

Polis berkata kejadian berlaku ketika operasi merobohkan struktur haram di laluan pejalan kaki di Desa Pandan.
Video tular menunjukkan seorang lelaki memegang parang panjang melakukan provokasi terhadap anggota penguat kuasa DBKL.
PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki membuat provokasi sambil memegang sebilah parang panjang dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Ketua Polis Wangsa Maju Mohamad Lazim Ismail berkata kejadian berlaku ketika operasi bersepadu meroboh struktur haram di atas laluan pejalan kaki di Desa Pandan melibatkan DBKL, Tenaga Nasional Berhad, Syarikat Bekalan Air Selangor, dan polis.

Katanya, pada 11.17 pagi seorang lelaki yang memegang sebilah parang panjang datang dan membuat provokasi terhadap anggota penguat kuasa yang bertugas.

“Lelaki itu turut melibas parang dan memaki hamun ke arah penguatkuasa DBKL sebelum ditenangkan beberapa orang awam.

“Susulan kejadian itu, polis menahan lelaki berusia 43 tahun itu untuk siasatan. Parang panjang milik suspek juga dirampas di sekitar kawasan kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Lazim berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam menjalankan tugas.

Beliau juga menasihatkan orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi sehingga menimbulkan kegusaran dan menghentikan penularan kejadian ini di media sosial.