"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Cubaan lari dari polis gagal, lelaki pandu kereta curi dicekup

MOHD SHARKAWI LONDING
TANGKAP layar kejadian MPV Polis mengejar kereta Proton Wira dalam kejadian di Jalan Labis-Chaah, Segamat.
SEGAMAT – Seorang lelaki ditahan polis selepas cuba melarikan diri dengan memandu secara melulu dan berbahaya ketika dikejar pasukan peronda di Jalan Labis-Chaah dalam kejadian malam semalam.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 10.15 malam ketika unit rondaan MPV Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat melakukan rondaan di kawasan tersebut.

“Pasukan polis mengesan sebuah kereta Proton Wira berwarna perak yang dilaporkan hilang di kawasan Labis pada hari sama.

“Ketika diarahkan berhenti di persimpangan lampu isyarat berhadapan Balai Polis Chaah, suspek enggan mematuhi arahan dan bertindak memecut ke arah Yong Peng.

“Suspek memandu secara melulu sehingga melanggar beberapa kenderaan awam sebelum berjaya ditahan di Kilometer 3, Jalan Yong Peng- Segamat,” katanya dalam kenyataan pada hari ini.

Menurut beliau, pemeriksaan mendapati suspek yang berusia 20 tahun memiliki satu rekod jenayah lampau dan masih dikehendaki polis kerana kesalahan berkaitan kes jenayah narkotik.

“Suspek kini direman empat hari hingga 16 Ogos. Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor.

“Selain itu, suspek disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu secara gopoh di jalan awam,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE

Suami meninggal dunia dihempap isteri

KOSMO!
GAMBAR fail sebuah stesen kereta api di Campanha. - Foto Corbis/Getty Images
LISBON – Seorang lelaki di Portugal meninggal dunia akibat ‘lemas’ selepas isterinya yang menghidap masalah obesiti terjatuh ke atasnya, lapor portal berita MailOnline semalam.

Mangsa berusia 59 tahun itu digambarkan oleh media tempatan sebagai berbadan kecil.

Dia meninggal dunia di rumahnya di kawasan perumahan Campanha, pinggir bandar Porto.

Isterinya yang berusia setahun lebih tua daripada mangsa dan mempunyai berat melebihi 100 kilogram, dilaporkan tersandung ketika bangun dari katil.

Wanita itu kemudian terjatuh di atas suaminya yang sedang berbaring.

Pihak polis menjalankan siasatan tetapi menolak unsur jenayah dan mengklasifikasikan kejadian itu sebagai kemalangan luar biasa. – AGENSI

20 warga asing serang pemilik kedai sewa motosikal

KOSMO!
GAMBAR fail seorang pelancong menunggang motosikal di Phuket. - Foto AFP
BANGKOK – Hampir 20 warga asing menyerang pemilik sebuah kedai sewa motosikal di Phuket, Thailand, di samping seorang lagi mangsa lain, lapor portal berita Thaiger hari ini.

Serangan berlaku selepas pertikaian mengenai ganti rugi kerosakan motosikal yang dilakukan oleh seorang warga asing yang menyewanya.

Agensi berita tempatan, Newshawk Phuket melaporkan bahawa insiden berlaku sekitar pukul 9.30 malam (waktu tempatan), Isnin lalu.

Satu rakaman video memaparkan sekumpulan warga asing yang kewarganegaraan mereka tidak didedahkan, menyerang dua lelaki Thailand. 

Beberapa orang cuba menghalang serangan itu, namun tidak berjaya.

Kedua-dua lelaki Thai tersebut cuba mempertahankan diri namun gagal, menyebabkan mereka terpaksa melarikan diri. 

Salah seorang mangsa dilaporkan merupakan pemilik sebuah kedai sewa motosikal berhampiran. 

Kedua-duanya kini dirawat di hospital dan mereka telah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut. – AGENSI