"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wanita warga Vietnam maut diserang jiran dengan pisau

Buletin TV3 
Foto orang awam/ST Singapura
Foto orang awam/ST Singapura
SINGAPURA: Seorang wanita warga Vietnam maut selepas diserang jirannya dengan pisau selepas berlaku pergaduhan di sebuah flat Yishun Central pagi tadi.

Memetik laporan The Straits Times, mangsa berusia 31 tahun dan suaminya, 33, dikejarkan ke Hospital Khoo Teck Puat (KTPH) kerana mengalami kecederaan serius.

Manakala suspek yang merupakan jiran kepada pasangan itu turut dibawa ke hospital sama dan telah ditahan atas tuduhanb membunuh.

Jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati pergaduhan antara suami isteri itu dan jiran mereka dipercayai berpunca daripada suspek yang tidak berpuas hati dengan bunyi bising.

Suspek, seorang lelaki berusia 67 tahun, didakwa menggunakan pisau untuk mencederakan pasangan tersebut.

Wanita berusia 31 tahun yang dibawa ke KTPH dalam keadaan tidak sedarkan diri namun disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.

Jurucakap Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata pihaknya menerima panggilan pada 7.25 pagi di Blok 323 Yishun Central.

Ketika wartawan ST tiba di lokasi sekitar 8.50 pagi, tingkat bawah berhampiran lif dipenuhi dengan tompokan darah.

Manakala di tingkat enam, terdapat kesan darah di lobi lif dan dalam lif.

Turut ditemui sebilah pisau, jam tangan, telefon bimbit, kunci kereta dan selipar di atas lantai.

Seluruh tingkat enam blok berkenaan telah ditutup dengan pita polis dan sekurang-kurangnya lapan pegawai polis berada di lokasi kejadian.

Seorang lelaki nekad gigit kepala ular sampai mati kerana berang ular tersebut mematuknya

KOSMO
Mangsa dirawat di Hospital Besar Kerajaan Ruia selepas keadaannya semakin merosot. - Afternoon News
NEW DELHI – Seorang lelaki nekad menggigit kepala seekor ular tedung hitam sehingga mati selepas dia diserang reptilia tersebut di negeri Andhra Pradesh, India, lapor portal berita The Hindu. 

Kejadian berlaku di perkampungan Chiyyavaram dalam daerah Tirupati, Khamis lalu. 

Mangsa dikenali sebagai Venkatesh, 48, dipatuk haiwan tersebut ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya. 

Dalam keadaan mabuk, Venkatesh segera menangkap ular itu lalu menggigit kepalanya  sehingga mati. Dia kemudian membawa pulang bangkai reptilia itu dan tidur di sebelahnya. 

Bagaimanapun, keadaan Venkatesh semakin merosot pada keesokan hari, menyebabkan dia dibawa ke Hospital Kawasan Srikalahasti untuk rawatan kecemasan. 

Dia dipindahkan ke Hospital Besar Kerajaan Ruia apabila bisa ular telah merebak ke seluruh tubuhnya. 

Doktor memberitahu bahawa keadaan Venkatesh masih kritikal dan dia berada di bawah pemantauan rapi. – AGENSI

Lelaki Pakistan dibunuh, mayat ditanam di kebun getah

Juwan Riduan
am@hmetro.com.my
POLIS menemui mayat kawasan kebun getah di Kampung Kitung. FOTO Ihsan PDRM.
POLIS menemui mayat kawasan kebun getah di Kampung Kitung. FOTO Ihsan PDRM.
Keningau: Misteri kehilangan seorang lelaki warga Pakistan sejak Sabtu lalu terjawab selepas mayatnya ditemui ditanam di kawasan kebun getah di Kampung Kitung, di sini, semalam.

Mangsa, Abdul Hafiz, 30, bekerja sebagai peniaga ditemui dalam keadaan masih berpakaian lengkap bersama kasut dengan kesan kecederaan di belakang kepala dan telinga kanan.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, hasil siasatan mendapati mangsa dilaporkan hilang sejak 20 September lalu, selepas keluar berurusan di Kampung Meninipir dengan menunggang sebuah motosikal Yamaha LC.

"Pada hari sama, pengadu yang juga rakan mangsa gagal menghubunginya. Keesokan harinya, pengadu menerima mesej berserta gambar lokasi terakhir mangsa di Jalan Mangkalias, Tenom.

"Polis yang menjalankan pencarian kemudian menemui sebuah telefon bimbit milik mangsa di kawasan berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, usaha mencari diteruskan sehingga semalam di Kampung Kitung, di sini dengan bantuan rakan-rakan pengadu.

"Mereka kemudian menemui beberapa barang dipercayai milik mangsa termasuk pakaian, motosikal, sebilah parang dan timbunan tanah baharu berhampiran rumah pekerja kebun getah.

"Hasil pemeriksaan lanjut, pasukan Unit Forensik menggali timbunan tanah berkenaan dan menemui mayat mangsa yang ditanam kira-kira 100 meter dari rumah pekerja ladang," katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati suspek utama ialah seorang lelaki warganegara Filipina berusia 32 tahun yang bekerja sebagai penjaga kebun getah di lokasi terbabit.

"Suspek sudah dikenal pasti dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan.

"Setakat ini motif pembunuhan masih dalam siasatan," katanya.

Yampil berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Keningau sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu untuk bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.