"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mufti Wilayah: Pas hina sahabat Nabi: Tidak beradab, bawa kepada fitnah

Harapandaily

Kenyataan yang menghina sahabat Nabi Muhammad SAW adalah tuduhan berat dan tidak wajar diungkapkan sewenang-wenangnya.

Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil berkata, penyebaran tuduhan tanpa asas terhadap sahabat besar Rasulullah SAW adalah perbuatan yang tidak beradab dan boleh membawa kepada fitnah terhadap tokoh yang dimuliakan dalam Islam.

Beliau menegaskan bahawa kedudukan Saidina Abu Bakar al-Siddiq RA dalam kalangan masyarakat Quraisy sebelum kedatangan Islam sememangnya sangat mulia dan dihormati.

“Beliau diberi tanggungjawab menguruskan hal berkaitan diyat serta membantu individu yang dibebani hutang.

“Tanggungjawab tersebut merangkumi usaha mengumpulkan bayaran diyat untuk diserahkan kepada keluarga mangsa serta membantu melunaskan hutang golongan yang menghadapi kesempitan kewangan.

“Amanah besar ini menunjukkan bahawa Saidina Abu Bakar RA adalah seorang yang dipercayai masyarakat kerana sifat amanah, pemurah dan prihatin terhadap kebajikan orang lain,” kata menerusi kenyataan hari ini.

Bapa ceti

Terdahulu, tular siri video memaparkan ceramah wakil rakyat Pas, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh mengeluarkan kenyataan berkenaan empat sahabat Rasulullah.

Ahli Parlimen Pasir Puteh itu menggambarkan Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Usman al-Affan dan Ali Abi Talib mempunyai sejarah hidup keji sebelum memeluk Islam.

Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas itu mendakwa Sayidina Abu Bakar sebagai seorang “bapa ceti” yang gemar memeras orang miskin semasa berada dalam zaman Jahiliyah.

Sayidina Umar pula digambarkan Nik Zawawi dalam satu program ceramah politik di Kuala Terengganu itu sebagai lelaki zalim serta suka berzina sebelum memeluk Islam.

Ekoran kecaman banyak pihak, pemimpin Pas berkenaan kemudiannya muncul dalam satu rakaman video yang dianggapnya menjelaskan kenyataan kontroversinya itu.

Bagaimanapun, Nik Zawawi memaafkan pula pihak yang mengkritiknya sekaligus mengundang lagi kecaman netizen.

Mengulas lanjut, Mufti Wilayah Persekutuan berkata, Saidina Abu Bakar RA bukanlah seorang ceti atau peminjam wang seperti didakwa, sebaliknya adalah tokoh penting dalam masyarakat Quraisy yang memainkan peranan menjaga kebajikan sosial dan membantu golongan yang memerlukan.

“Sifat dermawan beliau terhadap masyarakat juga menjadi antara sebab mengapa beliau dihormati sebelum Islam dan seterusnya diangkat sebagai sahabat paling rapat dengan Rasulullah SAW setelah memeluk Islam,” jelasnya.

Menyentuh soal kehidupan Saidina Umar al-Khattab RA pada zaman jahiliyyah, Ahmad Fauwaz berkata, para sejarawan Islam banyak membahaskan tentang ketegasan, keberanian dan pengaruh beliau dalam masyarakat Quraisy, termasuk sikapnya terhadap dakwah Islam sebelum memeluk Islam.

Antara kisah yang sering tersebar ialah dakwaan bahawa Saidina Umar pernah menanam anak perempuannya hidup-hidup.

Namun, katanya, ramai sejarawan dan ulama hadis menjelaskan bahawa riwayat itu tidak mempunyai sandaran yang kukuh malah dianggap palsu.

Ahmad Fauwaz menegaskan hal itu turut diperkuatkan dengan fakta bahawa Saidina Umar RA sendiri mempunyai anak perempuan yang bernama Saidatina Hafsah RA dan menunjukkan bahawa dakwaan tersebut tidak berasas.

“Dalam masa sama, sebahagian riwayat sejarah ada menyebut bahawa Saidina Umar RA pernah terbabit dengan budaya masyarakat Arab Jahiliah seperti meminum arak sebelum Islam, kerana perbuatan tersebut sememangnya menjadi kebiasaan masyarakat Arab pada ketika itu.

“Namun demikian, tidak ditemui dalam perbahasan para ulama dan sejarawan Islam yang muktabar berkaitan riwayat yang menggambarkan beliau sebagai seorang penzina atau memiliki akhlak sedemikian,” jelasnya.

Sangat memuliakan

Mufti Wilayah Persekutuan berkata, Rasulullah SAW sangat memuliakan para sahabat Baginda dan disebabkan itu, adalah tidak wajar untuk menjadikan kisah zaman jahiliah sebagai bahan yang menggambarkan keburukan dan boleh mendatangkan fitnah terhadap para sahabat Nabi SAW.

Sehubungan itu, tegas beliau, umat Islam hendaklah menjaga adab dalam membicarakan para sahabat Rasulullah SAW serta menolak segala tuduhan dan fitnah yang tidak berasaskan fakta.

Dalam masa sama, Ahmad Fauwaz memberikan garis panduan bagi para penceramah ketika membicarakan perihal sahabat Baginda SAW.

Antaranya, kata beliau, merujuk sumber muktabar dan pandangan ulama Ahli Sunnah wal Jamaah dalam memahami sejarah para sahabat dan memelihara adab dan kehormatan para sahabat Rasulullah SAW dalam setiap ucapan, penulisan dan penyampaian.

“Hindari ucapan berbentuk penghinaan, celaan, tuduhan atau sindiran terhadap mana-mana sahabat Nabi SAW, tidak menyampaikan kisah zaman jahiliyyah para sahabat dengan cara yang boleh mendatangkan fitnah dan meneliti kesahihan riwayat sebelum menyampaikan kisah berkaitan para sahabat, khususnya riwayat yang berunsur sensasi atau kontroversi.

“Perlu juga bersikap adil dan amanah dalam menyampaikan sejarah Islam tanpa dipengaruhi sentimen kebencian atau kepentingan tertentu dan menggunakan bahasa yang hikmah, sederhana dan mendidik ketika menjelaskan isu-isu sejarah berkaitan para sahabat Nabi SAW,” nasihat Mufti Wilayah itu lagi.

Vijay, Ketua Menteri Tamil Nadu arahkan 717 kedai arak ditutup

Agensi
VIJAY mengarahkan penutupan lebih 700 kedai arak di Tamil Nadu. FOTO REUTERS
VIJAY mengarahkan penutupan lebih 700 kedai arak di Tamil Nadu. FOTO REUTERS
New Delhi: Ketua Menteri Tamil Nadu yang baharu mengangkat sumpah, C Joseph Vijay mengarahkan penutupan lebih 700 kedai arak di negeri itu, menurut satu notis kerajaan, lapor Hindustan Times.

Langkah tegas Vijay selepas beberapa hari beliau memegang jawatan, dengan mengarahkan penutupan 717 kedai arak di bawah kendalian Tamil Nadu State Marketing Corporation (TASMAC).

Arahan itu antara tindakan pertama yang dibuat Vijay, bekas pelakon yang kini bergelar ahli politik, selepas beliau mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri, Ahad lalu.

Partinya, Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK) memenangi 108 kerusi dalam pilihan raya Tamil Nadu yang baru selesai dan berjaya membentuk kerajaan dengan sokongan beberapa parti lain sehingga mencapai majoriti 118 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri yang mempunyai 234 kerusi.

Kerajaan Tamil Nadu semalam memaklumkan bahawa Vijay mengeluarkan arahan untuk menutup 717 kedai arak yang terletak dalam lingkungan 500 meter dari rumah ibadat, institusi pendidikan dan stesen bas.

Menurut kenyataan rasmi, tindakan ini diambil demi menjaga kebajikan rakyat.

Daripada jumlah itu, 276 kedai berhampiran rumah ibadat, 186 berhampiran institusi pendidikan dan 255 kedai berhampiran stesen bas yang akan ditutup dalam tempoh dua minggu akan datang.

Ketua Menteri turut mengarahkan supaya arahan ini dilaksanakan sepenuhnya dalam masa dua minggu demi kepentingan orang ramai.

Manifesto pilihan raya TVK sebelum ini turut menjanjikan usaha untuk menjadikan Tamil Nadu negeri bebas dadah.
-hmetro 

Cabul wanita di LRT, MRT: Mahkamah tambah hukuman penjara warga Bangladesh

Bernama

Seorang buruh binaan dijatuhi hukuman penjara 18 bulan dan satu sebatan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini kerana mencabul lima wanita di kawasan stesen Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT) di sekitar ibu kota, bulan lepas.

Hakim Datuk Aslam Zainuddin menjatuhkan hukuman tersebut ke atas warga Bangladesh Md Romjan Ali, 41, selepas menyemak keputusan empat Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur pada 6 Mei yang menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM14,500 terhadap lelaki itu.

“Bagi lima kes itu, mahkamah akan memberikan satu hukuman secara global. Hukuman dijatuhkan Mahkamah Majistret diketepikan dan diganti dengan hukuman penjara 18 bulan dari tarikh tangkap pada 27 April dan tertuduh juga diperintahkan disebat sekali untuk satu daripada kes tersebut,” kata Aslam.

Pada 6 Mei, Md Romjan mengaku bersalah menggunakan kekerasan jenayah dengan niat untuk mencabul kehormatan seorang wanita Jerman dan empat wanita tempatan berusia 21 hingga 28 tahun.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di laluan pejalan kaki Stesen LRT Chan Sow Lin, di dalam tren dan kawasan eskalator Stesen MRT Maluri dan di dalam tren dari Stesen MRT Taman Midah ke MRT Muzium Negara antara 7 pagi dan 10.30 malam pada 10 hingga 25 April.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Faridah Nurdinie Bahrum memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pencegahan yang dapat memberi mesej kepada orang awam bahawa mahkamah memandang serius perbuatan cabul.

“Kesalahan dilakukan, iaitu mencabul di tempat awam satu tindakan yang tidak wajar. Tindakan seperti memeluk, menyentuh dan meraba mangsa bukan satu tindakan normal kerana orang yang normal tidak akan berkelakuan begitu.

“Jika dilihat daripada pertuduhan, tertuduh melakukan perbuatan itu di tempat dan masa berbeza serta semasa stesen LRT dan MRT dipenuhi orang awam yang menggunakan perkhidmatan itu,” katanya yang turut memohon perintah pengusiran selepas lelaki itu selesai menjalani hukuman.

Peguam Datuk Dr Mohd Radzuan Ibrahim yang mewakili Md Romjan memohon mahkamah mengeluarkan perintah menghantar balik anak guamnya ke negara asal dengan ahli keluarganya bersedia membiayai semua urusan itu.

“Abang tertuduh yang hadir ke mahkamah hari ini mengesahkan adiknya menghadapi gangguan emosi dan mereka sedang dalam proses menghantarnya pulang berubat di negara asal.

“Dari segi hukuman denda, mohon digantikan dengan hukuman penjara yang berjalan serentak kerana tertuduh tidak mampu membayar denda. Untuk makluman mahkamah, permit kerjanya masih berkuat kuasa sehingga Februari 2027,” katanya.

- Bernama