"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sokong PAS masuk syurga? Memang betul, kata Takiyuddin

N Faizal Ghazali

Ungkapan “masuk PAS akan masuk syurga” mungkin menjadi kata-kata sindiran musuh politik terhadap parti itu.

Namun Takiyuddin Hassan malam tadi dengan tegas menjelaskan bagaimana seseorang itu memang akan dapat masuk ke syurga melalui perjuangan dibawa mereka.

Walaupun mengakui PAS ialah sekadar sebuah pertubuhan politik, Setiausaha Agung PAS itu menegaskan wadah perjuangan mereka berteraskan Islam dan selaras dengan ajaran yang diperintahkan Allah.

“Kalau kita mati kerana berjuang mempertahankan Islam, tidak ada syak lagi, kita akan dianggap mati syahid dan kita akan diberikan ganjaran pahala, dan kita akan masuk syurga.

“Jadi dia (pihak lawan) kata pula (menyindir), masuk PAS ni masuk syurga…Yalah, masuk PAS (dan) terima Islam, berjuang di atas landasan Islam, nakkan Islam sama ada di dunia ataupun di akhirat.

“Masuk PAS cara itu, insya-Allah kita boleh masuk syurga apabila kita mati kelak. Itu pasti tuan-tuan dan puan-puan sekalian,” katanya.

Dia yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu itu membuat penegasan tersebut di hadapan lebih 500 penyokong ceramah perdana Sambutan Jubli Intan 75 tahun PAS sempena Muktamar PAS ke-75 di Kota Bharu.

PAS mengadakan muktamar di Kelantan sejak Rabu dengan dimulakan oleh sayap parti dan berlangsung sehingga hari ini. Para pemimpin utama parti akan menggulung perbahasan di penghujung muktamar.

Ada Islam pada nama parti

Takiyuddin berkata, disebabkan PAS membawa “perjuangan Islam” maka parti itu turut disokong alim ulama termasuk kebanyakan guru-guru pondok.

Dengan keahlian PAS kini melebihi sejuta orang di seluruh negara, katanya, keadaan itu menunjukkan sokongan terhadap parti berkenaan semakin meningkat.

Ujarnya lagi, angka berkenaan tidak termasuk sokongan daripada golongan bukan ahli dan juga dari luar negara.

Jika bilangan mereka diambil kira, tambah Takiyuddin, boleh dikatakan PAS kini mendapat dukungan antara tiga atau empat juta orang.

“Orang yang dahulu dari Umno, dari parti-parti lain ataupun mereka yang tidak berparti termasuk golongan yang sebelum ini tidak cakna mengenai politik, orang sukan, pemain bola dan artis… sekarang ini sudah ramai yang menjadi ahli PAS," katanya.

Tambah bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu lagi, PAS bukan sebuah parti yang baru ditubuhkan, sebaliknya sudah berusia 75 tahun selepas diasaskan pada 1951.

Katanya, PAS merupakan satu-satunya “parti Islam” di negara ini.

"Itulah PAS, sebuah parti yang membawa seruan Islam.

“Nama pun Parti Islam Semalaysia, iaitu satu-satunya parti yang meletakkan nama 'Islam' pada parti,” katanya yang juga Setiausaha Agung PN.

Dua beradik anggota kongsi gelap antara lapan didakwa bunuh lelaki

MOHD YUNUS YAKKUB
Kesemua tertuduh dikawal ketat anggota D9 bagi pertuduhan bunuh di Mahkamah Majistret Shah Alam.
SHAH ALAM – Lapan individu termasuk dua beradik yang menganggotai kumpulan kongsi gelap didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki minggu lalu

Mereka ialah K. Thivagar, 29, Shaik Hasanudin Ahlauwudin, 26, dan adiknya, Sheik Mauludin, 24, M. K. Puwaneswaran, 39, R. Darvin Raj, 23, S. R. Harikrisnan, 42, A. Rhubban, 37, dan Soulami Ahimsha, 46,

Kesemua tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Cynthia Noor Haizean Sulaiman. Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pada prosiding tersebut, Thivagar dan Soulami hadir dengan berkerusi roda.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama lapan individu yang masih bebas sebagai ahli perhimpunan yang menyalahi undang-undang dengan tujuan bersama membunuh Ganesan, 23, di Jalan Mandolin 33/5, Taman Alam Megah di sini, pada pukul 1.59 petang, 25 Ogos lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 149 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan jika tidak dihukum mati.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Alya Zaphfirah Al Zaphni memohon tarikh sebutan baharu sementara menunggu laporan bedah siasat, forensik dan perubatan selain tidak mencadangkan sebarang jaminan.

Sementara itu, peguam Nur Aida Md. Zainuddin mewakili Shaik Hasanudin dan Sheik Mauludin, manakala peguam Navin Punj mewakili Thivagar.

Mahkamah tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 13 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Kosmo! sebelum ini melaporkan pergaduhan membabitkan sekumpulan lelaki bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka maut selepas dilanggar kenderaan pelbagai guna jenis Perodua Alza di Taman Alam Megah di sini.

Siasatan polis mendapati perebutan kawasan antara dua kumpulan dipercayai kongsi gelap menjadi punca insiden serangan dan tetakan tersebut. Kedua-dua kumpulan itu dipercayai beroperasi di sekitar Shah Alam. – KOSMO! ONLINE

Polis siasat pengawal keselamatan warga Nepal didakwa hina Islam

Fairul Asmaini Mohd Pilus

KUALA LUMPUR: Pengawal keselamatan warga Nepal yang didakwa menghina Islam kini disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Jasni Zolpa berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu daripada majikan pengawal keselamatan terbabit di Balai Polis Jinjang pada 31 Ogos lalu.

“Syarikat keselamatan yang menggajikan individu terbabit mengambil tindakan segera selepas dimaklumkan mengenai hantaran berkenaan.

“Pengawal keselamatan terbabit turut dibawa ke Balai Polis Jinjang dan sudah pun diambil keterangannya.

“Kami sedang menunggu perintah penyiasatan (OTI) untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pengawal keselamatan terbabit sebelum ini mencetuskan kemarahan orang ramai selepas didakwa berterusan menyebarkan video di laman sosial yang menghina agama Islam dan Malaysia.

Menurut kenyataan tular yang dikaitkan dengan syarikat majikan terbabit, pihak berkenaan menyatakan kesediaan untuk memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sepanjang proses siasatan.

Pada masa sama, tindakan akan diambil bagi membatalkan permit kerja pengawal keselamatan berkenaan serta menguruskan penghantarannya pulang ke negara asal.

Bagaimanapun, proses berkenaan tertakluk kepada prosedur serta kelulusan pihak berkuasa berkaitan, termasuk Jabatan Imigresen.