MOHD. FAHMI ISMAIL
KAJANG – Polis menahan empat lelaki tempatan berusia lingkungan 20 hingga 30-an bagi membantu siasatan kes rusuhan dan cubaan membunuh seorang lelaki di Taman West Country, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada pukul 2.28 pagi membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun yang ditemukan cedera parah di tepi jalan.
Menurut beliau, mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Kajang untuk mendapatkan rawatan selepas dipercayai diserang menggunakan senjata tajam oleh beberapa individu yang dikenalinya.
“Kesemua suspek mempunyai beberapa rekod jenayah dan dadah serta direman selama empat hari sehingga 2 September ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Naazron berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati tiga suspek negatif dadah, manakala seorang lagi positif Methamphetamine.
Katanya, polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti motif kejadian selain mengesan individu lain yang mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Sharulhasram Ramli di talian 017-253 0380 atau mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan