"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemimpin Pas kata ‘doa pecah perut’ bukan untuk PMX

SITI NUR ZAWANI

Selepas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dikritik hebat susulan doa ‘pecah perut’ untuk pihak tertentu, pemimpin Pas tampil mempertahankan beliau dengan menegaskan doa itu bukan ditujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahaya berkata, doa berkenaan sebenarnya ditujukan kepada tauke judi yang membiayai usaha menghalang kerajaan negeri daripada mengeluarkan lesen premis judi.

“Doa supaya ‘pecah perut’ itu bukan kepada mana-mana pemimpin Kerajaan Persekutuan, jauh sekali kepada PMX seperti yang dimainkan di media sosial.

“Saya sendiri hadir pada program malam tu (di Dewan Seri Mentaloon, 25 Ogos lalu) dan dengar ucapan Menteri Besar dari mula sampai akhir,” katanya.

Penjelasan itu dibuat ketika kenyataan Sanusi mengenai doa ‘pecah perut’ terus menjadi pertikaian dan mengundang kritikan terhadap adab pemimpin Pas.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, orang ramai termasuk golongan ulama tidak seharusnya membuat ulasan atau menjatuhkan hukum hanya berdasarkan potongan video atau tajuk yang tersebar.

“Berat tanggungjawabnya apabila hukum dikeluarkan bukan berdasarkan perkara yang sebenar. Sepatutnya, sebelum memberi ulasan atau menjatuhkan hukum, dengar dan fahami dahulu apa yang sebenarnya diucapkan,” katanya.

Namun, kontroversi berhubung ungkapan ‘pecah perut’ itu tetap memperlihatkan bagaimana penggunaan bahasa keras oleh pemimpin politik, lebih-lebih lagi apabila melibatkan doa terhadap keburukan pihak lain, mampu mencetuskan kecaman awam.

Kes Sanusi itu juga memberi ruang kepada kritikan terhadap Pas yang sejak sekian lama berdepan persoalan mengenai adab sebahagian pemimpinnya yang dilihat agak biadab dan tidak teragak-agak menggunakan doa terhadap pihak yang dianggap sebagai lawan politik.

Tiada ulasan: