MOHD YUNUS YAKKUB

Kesemua tertuduh dikawal ketat anggota D9 bagi pertuduhan bunuh di Mahkamah Majistret Shah Alam.
SHAH ALAM – Lapan individu termasuk dua beradik yang menganggotai kumpulan kongsi gelap didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki minggu lalu
Mereka ialah K. Thivagar, 29, Shaik Hasanudin Ahlauwudin, 26, dan adiknya, Sheik Mauludin, 24, M. K. Puwaneswaran, 39, R. Darvin Raj, 23, S. R. Harikrisnan, 42, A. Rhubban, 37, dan Soulami Ahimsha, 46,
Kesemua tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Cynthia Noor Haizean Sulaiman. Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Pada prosiding tersebut, Thivagar dan Soulami hadir dengan berkerusi roda.
Mengikut pertuduhan, mereka bersama lapan individu yang masih bebas sebagai ahli perhimpunan yang menyalahi undang-undang dengan tujuan bersama membunuh Ganesan, 23, di Jalan Mandolin 33/5, Taman Alam Megah di sini, pada pukul 1.59 petang, 25 Ogos lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 149 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan jika tidak dihukum mati.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Alya Zaphfirah Al Zaphni memohon tarikh sebutan baharu sementara menunggu laporan bedah siasat, forensik dan perubatan selain tidak mencadangkan sebarang jaminan.
Sementara itu, peguam Nur Aida Md. Zainuddin mewakili Shaik Hasanudin dan Sheik Mauludin, manakala peguam Navin Punj mewakili Thivagar.
Mahkamah tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 13 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Kosmo! sebelum ini melaporkan pergaduhan membabitkan sekumpulan lelaki bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka maut selepas dilanggar kenderaan pelbagai guna jenis Perodua Alza di Taman Alam Megah di sini.
Siasatan polis mendapati perebutan kawasan antara dua kumpulan dipercayai kongsi gelap menjadi punca insiden serangan dan tetakan tersebut. Kedua-dua kumpulan itu dipercayai beroperasi di sekitar Shah Alam. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan