Bernama
IPOH: Seorang lagi suspek ditahan selepas disyaki terbabit kes samun yang menyebabkan kematian lelaki warga emas di Teluk Intan pada 17 April lalu.
Ketua Polis Hilir Perak, Chua Kok Lian, berkata lelaki berusia 26 tahun itu ditahan di Klang, Selangor pada 26 Ogos lalu hasil Ops Kesan/Wanted.
Menurutnya, penahanan itu hasil usaha berterusan polis dalam mengesan dan membawa individu dipercayai terbabit kes kematian lelaki berusia 69 tahun itu ke muka pengadilan.
Beliau berkata, empat rakan sejenayah suspek didakwa di mahkamah pada 7 Mei lalu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama.
“Hasil siasatan lanjut, kertas siasatan telah dirujuk kepada timbalan pendakwa raya dan arahan diterima supaya suspek turut didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama.
“Suspek yang dalam tempoh reman akan dibawa ke Mahkamah Majistret Teluk Intan pada 2 Sept bagi menghadapi pertuduhan tersebut,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Chua berkata, usaha mengesan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu terbabit kegiatan jenayah akan terus dipergiatkan bagi memastikan mereka dibawa ke muka pengadilan.
Beliau meminta orang ramai mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah supaya menyalurkan kepada polis bagi membantu usaha mengekalkan keselamatan dan ketenteraman awam, khususnya di daerah Hilir Perak.
Pada 17 April lalu, media melaporkan seorang warga emas maut akibat dilibas senjata tajam dipercayai parang dalam kejadian samun oleh sekumpulan lelaki di sebuah kediaman di Pekan Baru, Teluk Intan.
Chua dilaporkan berkata, mangsa parah di tangan kanan dan tapak tangan kiri, sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Susulan itu, empat lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Teluk Intan pada 7 Mei lalu atas pertuduhan membunuh warga emas terbabit menggunakan senjata tajam dipercayai parang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan