"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelantan: Sewa kereta kepada Rohingya, 34 pemilik di Kelantan didenda RM34,000

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seramai 34 pemilik kenderaan di Kelantan didakwa di mahkamah atas pelbagai kesalahan, termasuk menyewakan kenderaan kepada warga Rohingya yang tiada lesen memandu.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, Misuari Abdullah, berkata tindakan itu sebahagian daripada usaha penguatkuasaan dipertingkatkan terhadap pemilik tempatan yang membenarkan individu tanpa lesen memandu menggunakan kenderaan mereka.

“Kelantan antara negeri terawal membawa pemilik kenderaan terus ke mahkamah sebagai sebahagian usaha menjadikan penguatkuasaan lebih berkesan.

“Sehingga Jun lalu, 34 kes membabitkan pemilik kenderaan diheret ke mahkamah dengan jumlah denda RM34,000,” katanya menurut Berita Harian.

Semalam, JPJ Kelantan dilaporkan mengenal pasti taktik baharu etnik Rohingya menyewa kenderaan daripada penduduk tempatan, termasuk model mewah untuk urusan harian. Difahamkan, kenderaan disewa pada kadar RM50 hingga RM500 sebulan.

Sebelum ini, Misuari dilaporkan berkata, 85% pesalah warga asing yang dikenakan tindakan menerusi operasi pemandu warga asing (Ops PEWA) di Kelantan sejak Januari hingga Jun lalu terdiri daripada etnik Rohingya.

Menurutnya, 180 kenderaan diperiksa sepanjang tempoh operasi itu, dengan 105 daripadanya disita dan 201 notis dikeluarkan membabitkan 439 kesalahan.

Jelasnya, kesalahan tertinggi ialah 210 kes memandu tanpa lesen sah, diikuti 105 kes penyalahgunaan cukai jalan.

Katanya, etnik Rohingya tidak dibenarkan memandu di Malaysia tanpa memiliki lesen memandu sah, manakala pemilik kenderaan yang menyewa atau meminjam kenderaan mereka kepada individu tanpa lesen memandu sah boleh didakwa mengikut Seksyen 23(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987, selain kenderaan disita.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai tidak mengejar keuntungan daripada sewaan kenderaan kerana akan dikenakan tindakan tegas.

Tiada ulasan: