FMT Reporters
Tertuduh, Mohd Noorikhmal Baharuddin mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.

Tertuduh, Mohd Noorikhmal Baharuddin, 41, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Jasin hari ini atas tuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian penunggang motosikal yang juga pelajar sebuah kolej.
PETALING JAYA: Seorang pemandu ambulans swasta didakwa di Mahkamah Majistret Jasin hari ini atas tuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian penunggang motosikal yang juga pelajar sebuah kolej, minggu lalu.
Tertuduh, Mohd Noorikhmal Baharuddin, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mazana Senin, menurut Sinar Harian.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa memandu ambulans jenis Toyota Hiace secara melulu sehingga menyebabkan kematian Muhammad Amirul Asyraaf Md Azizan, 18, di lampu isyarat simpang tiga Kampung Ayer Merbau, di sini, kira-kira 9.15 pagi, 26 Ogos lalu.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000, selain hilang kelayakan memiliki lesen memandu bagi tempoh tidak lebih lima tahun.
Pegawai Pendakwa Mohd Hafiz Othman mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Kharen Jit Kaur.
Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM8,000 terhadap tertuduh berserta syarat lesen memandu digantung sementara sehingga kes selesai.
Bagaimanapun, tertuduh melalui peguamnya memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan lebih rendah.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 September depan untuk sebutan semula kes.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan