"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bau busuk bongkar mayat wanita dikerat dalam beg, suami, isteri ditahan

Agensi
Mayat mangsa, Hayathun Nisha ditemukan dalam beg berwarna merah di dalam gerabak keretapi. FOTO Agensi
Mayat mangsa, Hayathun Nisha ditemukan dalam beg berwarna merah di dalam gerabak keretapi. FOTO Agensi
New Delhi: Polis menahan sepasang suami isteri di daerah Jiribam, Manipur bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang wanita berusia 38 tahun di Guduvanchery, Tamil Nadu, menurut pegawai polis pada Ahad, lapor Hindustan Times

Penangkapan itu dilakukan hampir sebulan selepas mayat mangsa yang dikerat-kerat ditemukan dalam sebuah beg pakaian di atas kereta api menuju ke Delhi.

Polis mengenal pasti suspek sebagai Manik Uddin Laskar, 22, dari daerah Cachar, Assam, dan isterinya, Bhagabati Majhi, yang juga dikenali sebagai Ayesha Begum, 21, dari daerah Kendujhar, Odisha.

"Pasukan gabungan Polis Tamil Nadu dengan bantuan Polis Manipur menahan Manik di jalan antara Kampung Lalpani dan Rasidpur di daerah Jiribam, Manipur pada 28 Ogos lalu manakala Bhagabati pula ditahan pada hari berikutnya di Kampung Kashimpur dalam daerah yang sama," menurut kenyataan Polis Manipur.

Polis Manipur berkata, pasangan itu kemudian diserahkan kepada Ketua Balai Polis T8 Guduvanchery di Tamil Nadu untuk tindakan lanjut.

Superintendan Polis Kereta Api Kerajaan Chennai P Rajan pada Ahad berkata, pasangan itu akan dihadapkan ke hadapan majistret di Manipur sebelum dibawa ke Chennai mengikut waran transit bagi siasatan lanjut.

Seorang pegawai polis Tamil Nadu yang enggan dikenali berkata, kejadian itu dipercayai berpunca daripada hubungan sulit antara Manik dan mangsa.

Pada 5 Ogos, penumpang sebuah kereta api ekspres dari Tamil Nadu menuju ke Delhi terhidu bau busuk yang datang daripada sebuah beg pakaian di dalam gerabak tanpa tempahan selepas kereta api itu tiba di Agra.

Polis Kereta Api Kerajaan yang dimaklumkan mengenai kejadian itu kemudian memeriksa beg berkenaan sebelum menemukan mayat seorang wanita tanpa kepala dan dikerat-kerat.

Polis kereta api di Stesen Kereta Api Pusat Puratchi Thalaivar Dr M G Ramachandran dimaklumkan mengenai penemuan itu sebelum melancarkan siasatan terperinci bersama polis kereta api Agra.

Selepas meneliti lebih 350 rakaman kamera litar tertutup, polis mengenal pasti sepasang suami isteri yang membawa beg pakaian berkenaan di Stesen Kereta Api Pusat Chennai. Pada masa sama, anak lelaki mangsa membuat laporan polis mengenai kehilangan ibunya di Balai Polis Guduvanchery.

Satu pasukan polis yang diketuai Rajan dari Balai Polis Guduvanchery kemudian menyerbu sebuah rumah sewa di Mosque Street, Guduvanchery, lokasi polis menemukan beberapa bahagian tubuh mangsa di dalam sebuah periuk besar.

Pemeriksaan forensik dan analisis asid deoksiribonukleik (DNA) kemudian mengesahkan identiti mangsa sebagai Hayathun Nisha, yang berasal dari Odisha.

"Kedua-dua suspek tinggal di kediaman mangsa dan sudah mengenalinya sejak beberapa tahun lalu. Polis Guduvanchery mengklasifikasikan semula kes kehilangan orang sebagai kes bunuh dan sedang mengesan individu yang terbabit serta motif di sebalik kejadian," katanya.

Siasatan mendapati pasangan itu meletakkan beg pakaian berkenaan di dalam kereta api Tamil Nadu Express pada 3 Ogos lalu sebelum melarikan diri ke Manipur. 
-hmetro

Tiada ulasan: