Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my

KEADAAN mangsa yang meninggal dunia di bawah sebuah lori dalam kemalangan di hadapan Masjid Batu 3, Jalan Jeniang. FOTO ihsan BOMBA
Gurun: Polis sedang menyiasat kemalangan motosikal dan lori di Jalan Gurun - Jeniang di sini, hingga mengakibatkan kanak-kanak berusia 12 tahun meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, kemalangan dilaporkan berlaku jam 2 petang semalam.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan itu membabitkan lori dipandu seorang lelaki manakala motosikal ditunggang remaja berusia 14 tahun dan dibonceng kanak-kanak berusia 12 tahun.
"Siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku ketika lori itu tiba di lokasi kejadian sambil bergerak perlahan untuk berhenti.
"Ketika itu, sebuah kenderaan dengan nombor pendaftaran tidak dikenal pasti berhenti secara mengejut di hadapan lori itu susulan lampu isyarat merah.
"Ini menyebabkan pemandu lori cuba mengelak ke laluan susur kiri sebelum dia terdengar dentuman dari arah belakang sisi kiri," katanya.
Menurutnya, pemandu lori itu kemudian melakukan pemeriksaan dan mendapati motosikal dinaiki kanak-kanak dan remaja lelaki terbabit melanggar bahagian belakang lori, " katanya semalam.
Hanyan berkata, pemandu lori itu mendapati kanak-kanak terbabit tersepit pada tayar belakang lori manakala pembonceng remaja terjatuh di atas jalan raya.
Beliau berkata, akibat kemalangan itu, mangsa kanak-kanak disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala penunggang motosikal hanya luka-luka calar bahagian tangan dan kaki.
"Mangsa yang meninggal dunia mengalami cedera parah di bahagian badan dan paha kiri kanan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.
Hanyan berkata, mangsa yang maut berasal dari Kampung Paya Mak Insun, Ayer Puteh, Pendang manakala pembonceng pula berasal dari Kampung Batu 3, Jalan Jeniang, di sini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan