Bernama
GEORGE TOWN: Polis menahan seorang wanita tempatan dan seorang lelaki warga asing bagi membantu siasatan susulan penemuan bayi baru lahir di dalam tandas Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Barat Daya ACP Anuwal Ab Wahab berkata wanita berusia 23 tahun itu, ditahan di Kompleks Bukit Jambul selepas siasatan dan semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dijalankan.
“Siasatan lanjut membawa kepada penahanan seorang lelaki warga Myanmar berusia 22 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, bagi membantu siasatan kes berkenaan.
“Lelaki itu turut didapati gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anuwal berkata polis sebelum itu menerima laporan berhubung penemuan bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan di dalam sebuah tong sanitari tandas orang kurang upaya (OKU), di lapangan terbang berkenaan.
Beliau berkata bayi itu ditemukan oleh seorang pekerja pembersihan selepas terdengar bunyi tangisan dari dalam tong sanitari terbabit, sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk mendapatkan rawatan.
Anuwal berkata pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang turut menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian dan beberapa sampel diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan analisis.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti penglibatan serta kaitan individu-individu yang ditahan dengan kejadian itu,” katanya.
-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan