"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ibu musykil, mahu kematian pelatih PTD disiasat telus

Syed Mu’az Syed Putra
KUALA LUMPUR, 3 Jun
: Keluarga Allahyarham Norhashimah Wahid yang ‘terkejut’ dengan kematian pelatih Pegawai Tadbir dan Diplomatik itu Isnin lalu mahu kerajaan menjalankan siasatan terbuka ekoran timbulnya beberapa kemusykilan di sebalik tragedi ibu muda tersebut.

Norhashimah, 31, meninggal dunia ketika mengikuti latihan Modul Jati Diri di Jugra, Banting selama tujuh bulan sebelum disahkan dalam jawatan dan telah tiga bulan mengikuti latihan itu.

Ibunya, Norlia Hashim, 62, berkata, dia mahu kematian anaknya disiasat dengan telus kerana sehingga kini masih tidak tahu sebab Norhashimah boleh meninggal dalam "keadaan yang teruk sebegitu."

"Mungkin juga beliau ada dibuli kerana terdapat kesan luka dan lebam pada badannya," katanya.

Norlia juga mempersoalkan tindakan pegawai latihan Modul Jati Diri yang didakwa memaksa pelatih pegawai tadbir dan diplomatik itu meneruskan latihan walaupun mengetahui beliau menunjukkan tanda-tanda sakit.

"Saya nak tahu siapa pegawai yang memaksa Allahyarham untuk meneruskan latihan.

"Saya mendapat tahu ada pegawai yang bertindak menarik kain yang menyebulungi Allahyarham kerana tidak sihat dan memaksanya untuk terjun ke dalam lumpur sebelum melakukan aktiviti lain," katanya.

Norlia soal kenapa mesti memaksa Allahyarham sedangkan ketika itu dia sedang sakit.

"Adakah seorang peserta yang sakit juga akan dipaksa meneruskan latihan?" tanya beliau kepada The Malaysian Insider ketika ditemui di rumahnya di Taman Keramat dekat sini.

"Saya mahu menemui pegawai tersebut untuk mengetahui mengapa dia bertindak sedemkian," tegas Norlia.

Norhashimah, 31, meninggal dunia Isnin lalu selepas menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi, Hospital Tengku Ampuan Rahimah setelah koma sejak Jumaat.

Dia dikatakan meninggal dunia kerana jangkitan paru-paru.

Allahyarham yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik meninggalkan suami, Ahmad Zulkhairi Zainal Abidin, 31, dan seorang anak perempuan Nor Hylda Dania, dua tahun.

Sebelum kejadian, Norhashimah yang bertugas di Kementerian Kewangan di Putrajaya, mengadu tidak sihat, tetapi beliau terpaksa mengikuti latihan tersebut.

"Melalui kawan-kawan Allahyarham saya mengetahui bahawa dia ada memohon cuti kerana tidak sihat tetapi tidak dibenarkan.

"Sebaliknya Allahyarham diugut akan digagalkan sekiranya tidak menghabiskan latihan tersebut," kata Norlia lagi.

Norlia juga menafikan Norhashimah tidak sihat dan kurang cergas ketika mengikuti latihan tersebut.

"Sebelum Allahyarham mengikuti latihan tersebut beliau begitu sihat dan tidak ada langsung tanda-tanda tidak sihat.

"Lagipun beliau merupakan seorang penyelam bertauliah dan sangat menyukai aktiviti lasak, jadi saya hairan mengapa beliau boleh tidak sihat ketika berada dalam latihan tersebut.

"Selain itu, dia juga tidak mempunyai sebarang penyakit berbahaya termasuk asma," katanya.

Norliah juga kesal dengan tindakan pihak penyelaras latihan berkenaan yang merahsiakan keadaan anaknya itu.

"Saya memang amat kesal kerana pihak penyelaras latihan tidak memberitahu apa-apa langsung tentang keadaan anak saya.

"Saya tahu Allahyarham dimasukkan ke hospital apabila diberitahu oleh menantu, itu pun pihak hospital yang beritahu bukan pihak penyelaras program," katanya.

Pagi tadi, Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dan beberapa pemimpin Angkatan Muda Keadilan mendesak diadakan siasatan terbuka.

"Saya juga mendapat maklumat bahawa mereka dilayan dengan begitu teruk sepanjang menyertai lathan tersebut.

"Saya akui semua orang mahukan yang terbaik untuk pegawai-pegawai tetapi mereka tidak perlu dilayan dengan teruk seperti minum air stokin dan mandi lumpur," katanya.

Beliau berkata kematian Allahyarham Norhashimah menimbulkan pelbagai soalan terutamanya dari segi pengendalian Modul Bina Semangat berkenaan.

Jabatan Perkhidmatan Awam sedang menjalankan siastan lanjut mengenai perkara itu.

Tiada ulasan: