"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

MP Kapar masih berteka-teki hadap Selcat

SHAH ALAM, 3 Jun: Ahli Parlimen Kapar S. Manikavasagam masih menanti lampu hijau Speaker Dewan Rakyat sama ada boleh menghadap Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) untuk memberi keterangan berhubung dakwaannya wujud amalan rasuah di Kumpulan Semesta Sdn. Bhd.

Wakil rakyat itu sepatutnya dipanggil untuk menghadap Selcat semalam tetapi ditangguhkan ke hari ini.

Beliau juga tidak dipanggil hari ini.

Bagaimanapun sesi pendengaran awam hari ini menyaksikan hanya dua saksi dipanggil memberi keterangan berhubung dakwaa bahawa tiga pegawai kanan syarikat pasir kerajaan negeri Selangor itu mengamalkan rasuah.

Mereka ialah Pengerusi Kumpulan Semesta Abdul Shukor Nagor dan Pengarah Eksekutif Ramli Abd Majed.

“Saya masih belum menerima sebarang lampu hijau daripada Dewan Rakyat,” kata Manikavasagam kepada pemberita di pekarangan Dewan Undangan Negeri Selangor, hari ini.

“Saya akan tahu (keputusan) petang ini,” katanya.

Manikavasagam memberitahu, beliau akan hadir jika Dewan Rakyat memberikan “lampu hijau.”

“Saya ada bukti kukuh... dua atau tiga kes kukuh yang boleh mengikat Kumpulan Semesta,” katanya lagi.

“Setakat ini ada 12 pengadu, tujuh saksi... (termasuk) tiga kontraktor Semesta, dua staf Semesta,” kata Manikavasagam.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan pagi ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan bahawa agensi itu menghalang Manikavasagam menghadiri inkuiri Selcat.

Semalam beliau berkata berhadapan dengan dilema sama ada boleh menghadiri sesi itu kerana bimbang implikasi perundangan selaku wakil rakyat dan juga undang-undang SPRM.

SPRM berkata pegawainya hanya menasihatkan Manikavasagam bahawa isi kandungan aduan yang dibuatnya kepada suruhanjaya itu tidak boleh didedahkan kepada mana-mana individu atau pihak lain kerana ia tertakluk kepada Seksyen 29 (4) Akta SPRM 2009.

Ia juga menjelaskan, Manikavasagam menghubungi suruhanjaya itu untuk mendapatkan pandangan sama ada beliau boleh atau tidak mendedahkan kandungan aduan yang telah dibuat kepada SPRM berkaitan kes kecurian pasir yang melibatkan Kuala Semesta.

Tiada ulasan: