"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Selcat pertikai unjuran hasil pasir tak logik

SHAH ALAM, 2 Jun: Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) hari ini mempertikaikan pengurusan kerajaan negeri Selangor yang dikatakan gagal mencapai unjuran perolehan hasil royalti pasir sebanyak RM127 juta bagi 2009.

Pengerusinya, Teng Chang Khim berkata unjuran tersebut tidak seharusnya dibuat oleh kerajaan negeri memandangkan hasil pasir sebenar pada tahun tersebut hanya mencatatkan jumlah RM5.7 juta bagi tahun berkenaan.

Katanya, meskipun kerajaan negeri telah menubuhkan anak syarikat untuk menguruskan sumber berkenaan iaitu Kumpulan Semesta Sdn. Bhd., unjuran itu sebenarnya tidak praktikal selain menunjukkan perbezaan yang amat besar berbanding perolehan sebenar yang diterima oleh kerajaan negeri.

Teng juga menyoal anggota Exco kerajaan Selangor, Yaakop Sapari, yang bertanggungjawab dengan aktiviti perlombongan pasir negeri itu, bahawa unjuran itu turut mengundang sentimen negatif di kalangan rakyat yang menyebabkan mereka hilang kepercayaan terhadap kecekapan dan ketelusan pentadbiran kerajaan negeri.

“Tentang unjuran yang telah dibuat ini, angka ini juga dibandingkan adalah terlalu jauh. Jadi saya nak maklumkan bahawa adakah angka (unjuran) ini munasabah,” katanya ketika mempengerusikan sesi pendengaran awam Selcat di sini hari ini mengenai urus niaga perlombongan pasir oleh KSSB.

Beliau berkata pada sesi mendengar keterangan daripada Yaakop, saksi pertama berhubung siasatan mengenai urus niaga tersebut.

Sebelum itu, Yaakob ketika memberikan keterangan kepada jawatankuasa berkenaan berkata unjuran itu tidak dicapai memandangkan ketika ini hasil perolehan hanya daripada lombong pasir milik kerajaan negeri dan tidak melibatkan tanah milik persendirian.

Katanya, keadaan sedemikian turut disumbangkan oleh aktiviti perlombongan pasir secara haram yang tidak direkodkan sebagai perolehan kerajaan negeri melalui Kumpulan Semesta.

Sesi pendengaran awam itu diadakan setelah Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila mendakwa mempunyai bukti dan senarai saksi bahawa wujudnya penyelewengan aktiviti perlombongan pasir di negeri itu oleh KSSB.

Bagaimanapun, Manikavasagan yang tiba di Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini untuk memberikan keterangan kepada Selcat mengenai dakwaannya itu diberitahu supaya datang esok.

“Saya mendapat khidmat pesanan ringkas daripada pejabat kerajaan negeri yang mengatakan saya tidak perlu menghadiri pendengaran hari ini dan diberitahu hadir esok,” katanya.
-Bernama-

Tiada ulasan: