"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Selcat: SPRM tidak halang Manikavasagam

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 3 Jun:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam tidak dihalang untuk menghadiri inkuiri Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat).

Beliau bagaimanapun tidak boleh mendedahkan kandungan yang telah dibuatnya kepada SPRM berkaitan kes kecurian pasir yang melibatkan Kuala Semesta Sdn Bhd (KSSB).

"SPRM mengesahkan Ahli Parlimen Kapar ada menghubungi SPRM untuk mendapatkan pandangan sama ada beliau boleh atau tidak mendedahkan kandungan aduan yang telah dibuat kepada SPRM berkaitan kes kecurian pasir yang melibatkan KSSB.

"Pegawai SPRM memaklumkan bahawa isi kandungan aduan yang dibuat tidak boleh didedahkan kepada mana-mana individu atau pihak lain kerana ianya tertakluk kepada Seksyen 29(4) Akta SPRM 2009," kata SPRM dalam satu kenyataan.

Kenyataan SPRM itu merujuk kepada laporan portal berita Malaysiakini semalam berhubung Manikavasagam yang didakwa tidak akan hadir ke inkuiri hari ini kerana mendapat arahan daripada SPRM.

Menurut SPRM, pegawainya yang dihubungi Manikavasagam tidak ada menyatakan halangan untuk Ahli Parlimen Kapar tersebut hadir ke inkuiri Selcat pada tarikh yang telah ditetapkan.

"SPRM ingin menegaskan sekali lagi bahawa sebarang aduan yang dibuat kepada SPRM tidak boleh didedahkan kerana ia boleh menjejaskan siasatan yang dijalankan SPRM," kata kenyataan itu.

Tiada ulasan: