"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mengapa kakitangan atasan KKSB dapat bonus 6 bulan

Dzulfikar Mashoor
SHAH ALAM, 3 Jun:
Kaedah pemberian bonus kepada kakitangan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KKSB) terus dipertikai oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat).

Bagi Pengerusi Selcat Tan Chang Kim, tujuan asal pemberian bonus tersebut sebagaimana yang dinyatakan Pengerusi Bukan Eksekutif, Abdul Shukor Nagor semalam demi menghargai para pekerja bawahan yang menghadapi ancaman kesukaran ketika aktiviti perlombongan dilakukan.

Sedangkan yang menikmati bonus berganda terbanyak, menurut Tan, adalah di kalangan para pekerja atasan.

"Pekerja bawahan semuanya, 22 orang hanya dapat 1.5 kali ganda bonus sedangkan pekerja atasan mendapat bonus enam kali ganda.

"Maka, apakah galakan untuk pekerja bawahan kalau pekerja atasan saja yang menikmati bonus yang berganda-ganda ini," soal beliau di dalam kamar Dewan Undangan Negeri (Dun), di sini hari ini.

Menurutnya lagi, sepatutnya pekerja bawahan lebih menikmati bonus gandaan terbanyak kerana mereka lebih banyak terdedah kepada ancaman kesukaran.

Menjawab soalan tersebut, Abdul Shukor menegaskan bahawa para pekerja atasan juga bekerja keras untuk memajukan syarikat milik kerajaan negeri.

"Mereka ini (pekerja atasan) juga bekerja keras dan pemberian bonus itu setimpal sebenarnya," ujarnya.

Jelasnya lagi, walaupun jumlah bonus yang diberikan kepada para pakerja bawahan kurang jika dibandingkan dengan jumlah bonus yang diterima oleh para pekerja atasan, namun para pekerja bawahan masih menikmati bayaran gaji lebih masa (OT).

Menurut Kim, OT adalah bayaran yang diberikan berasaskan pada kerja-kerja yang dibuat sedangkan bonus adalah suatu pemberian oleh majikan kepada pekerja yang bukan berasaskan pada masa bekerja.

"Saya tanya tentang bonus, bukan OT kerana kamu (Abdul Shukor) yang mengatakan bahawa pemberian bonus ini untuk menghargai pekerja yang terdedah pada ancaman," kata Kim.

Kim turut membaca data pemberian bonus di mana hanya lapan pegawai atasan mendapat bonus terbanyak, iaitu enam kali ganda gaji masing-masing.

"Pengurus Kanan Keselamatan (yang) bergaji RM6,220 umpanya mendapat ganjaran bonus empat kali ganda tetapi kakitangan keselamatan (bawahan) yang gajinya RM2,200, mereka hanya mendapat bonus 1.5 kali ganda saja," ujar Kim.

Tuntas dari itu, Kim meminta Abdul Shukor menjelaskan sama ada beliau mengalami ancaman kesukaran atau sebaliknya.

"Tiada," jawab Abdul Shukor.

Semalam, Kim mempersoal kewajaran KKSB memberikan bonus enam bulan kepada segelintir pekerja atasan kerana syarikat tersebut baru ditubuhkan pada Julai 2008.

Tiada ulasan: