"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

SELCAT: EXCO Yaakob Sapari Ditegur Lewat Proses Permohonan Tanah Persendirian

Ahli EXCO yang bertanggungjawab terhadap Kumpulan Semesta dan industri pasir turut dipanggil oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban Dan Ketelusan (SELCAT) untuk memberi keterangan.

EXCO Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Yaakob Sapari diminta menjelaskan prestasi syarikat itu dan kelewatan dalam meluluskan permohonan membabitkan tanah- tanah persendirian.

Yaakob memberitahu bahawa walaupun Kumpulan Semesta tidak dapat mencapai keuntungan yang disasarkan, prestasinya menampakkan peningkatan.

“Rekod pengeluaran KKSB pada tahun 2008, 2009 untuk makluman, tanah milik kerajaan dan sungai sahaja yang beroperasi maknanya 2008, royalti telah dibayar ialah RM1.47 juta dan royalti 2009 dibayar RM5.764, ini ada peningkatan,” kata Yaakob.

“Saya setuju di samping memastikan agenda MES dipertingkatkan, hanya untuk tanah kerajaan dan sungai sahaja kerajaan berjaya mengutip RM5.764 juta, tahun ini saya jangka kutipan akan lebih banyak kerana pada tahun ini tanah- tanah persendirian, kita benarkan,” tambahnya lagi.

Ahli panel SELCAT Azmin Ali, menegur kelewatan SELCAT memproses permohonan khususnya yang membabitkn tanah swasta.

“Yang berhormat, saya tidak menafikan bahawa keperluan untuk memastikan perlombongan di kawasan- kawasan tanah persendirian ini mengikut tatacara yang cukup jelas dan supaya tidak menimbulkan masalah alam sekitar dan sebagainya, tetapi kalau ia mengambil masa terlalu lama, Jun 2008 hingga 2010, saya kira ia menjejaskan kerajaan negeri, bagaimana kita hendak perjelaskan kepada awam untuk mengemukakan garis panduan untuk tanah- tanah persendirian,” kata Azmin.

Yaakob turut menjelaskan bahawa Kumpulan Semesta tidak bertindak secara mutlak dalam kelulusan tanah untuk ditukar menjadi lombong pasir.

Pengerusi SELCAT, Teng Chang Kim kemudia menyoal Yaakob adakah Kumpulan Semesta terlibat untuk membuat kelulusan menjadikan kawasan tanah dijadikan lombong pasir.

“Tidak, dia hanya untuk kelulusan untuk lombong pasir di tanah-tanah kerajaan atau tanah persendirian hendaklah dibawa kepada EXCO, dan EXCO meluluskan berdasarkan laporan seperti Alam Sekitar, luas, DBS dan jika semua lulus baru diluluskan, soal perlombongan dan pentadbiran diluluskan oleh kumpulan SEMESTA," kata Yaakob.

Turut memberi keterangan ialah Pengarah, Jabatan Tanah dan Galian Selangor, Abdul Nasir Hassan.

Panel SELCAT meminta penjelasan mengenai proses permohonan perlombongan pasir yang membabitkan Kumpulan Semesta.

Abdul Nasir memberitahu bahawa satu unit khas jawatankuasa teknikal ditubuhkan bagi melicinkan proses permohonan berkenaan.

"Salah satu matlamat jawatankuasa teknikal ini ditubuhkan bagi mempercepatkan proses dan menyelesaikan apa- apa halangan diperingkat proses yang membabitkan Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Pejabat Tanah dan Jabatan Teknikal," kata Nasir.

Namun beliau akur pihaknya tidak ada kuasa untuk memastikan permohonan tanah yang membabitkan Kumpulan Semesta diluluskan dengan pantas.

"Setakat ini diperingkat Pejabat Tanah dan Galian (PTG) kita tiada kuasa untuk memantau. Diperingkat jawatankuasa teknikal pun kita cuma minta KSSB menyegerakan sebarang permohonan," katanya lagi.

Tiada ulasan: