Bernama
Ruddy Awah bersama isteri dan anak bongsunya lafaz syahadah dibimbing Mufti Sabah Bungsu @ Aziz Jaafar.

Majlis pengislaman Adun Pitas Ruddy Awah bersama isteri dan anak bongsunya disiarkan secara langsung menerusi Facebook. (Gambar Facebook)
PITAS: Adun Pitas Ruddy Awah bersama isteri, Asiah Udin, dan anak bongsu mereka secara rasmi memeluk Islam di kediaman mereka di Kampung Salimpodon Laut hari ini.
Majlis pengislaman Ruddy, 58, yang juga pembantu menteri kerja raya dan utiliti Sabah, bersama Asiah, 56, serta anak bongsu mereka, Aswady, 26, disiarkan secara langsung menerusi Facebook.
Majlis yang dimulakan dengan lafaz syahadah secara bersama dan bergilir-gilir beserta bacaan pengertian dalam bahasa Melayu itu diteruskan dengan laungan azan, bacaan ayat suci al-Quran, selawat serta kenduri kesyukuran.
Lafaz dua kalimah syahadah itu dibimbing Mufti Sabah Bungsu @ Aziz Jaafar dengan disaksikan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Arifin Arif serta Setiausaha Kerajaan Negeri Zainudin Aman.
“Pada hari ini adalah hari bersejarah buat saya, isteri dan anak saya kerana kami selamat melafazkan dua kalimah syahadah dan saya amat gembira dengan hidayah ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis itu.
Ruddy yang mempunyai enam cahaya mata berkata, empat daripada anaknya telah terlebih dahulu memeluk Islam, sekali gus menjadi pendorong utama perjalanan hidayah keluarganya.
Katanya, keputusan itu diambil atas keikhlasan hati tanpa sebarang paksaan serta bukan batu loncatan untuk mengejar pangkat atau kedudukan selepas merasakan tiada lagi kepentingan duniawi yang mahu dikejarnya.
Ruddy menjelaskan, beliau bersama isterinya yang sebelum ini berpegang kepada kepercayaan pagan telah mendalami ajaran Islam selama lebih 10 tahun bagi mencari pegangan hidup yang sebenar.
“Ramai antara rakan-rakan yang sudah mengerjakan umrah, saya bagi sedekah dan minta mereka sebut nama saya serta doakan supaya saya menjadi sebahagian daripada keluarga Islam,” katanya mengenai hasratnya yang telah lama terpendam.
Majlis penuh bermakna itu turut dihadiri oleh barisan menteri dan pembantu menteri Sabah serta masyarakat setempat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan