"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

10 ditahan susulan penemuan mayat terikat dalam rumah

FMT Reporters

PETALING JAYA: Polis menahan 10 individu untuk membantu siasatan susulan penemuan mayat seorang warga emas dalam keadaan tangan terikat dan kepala ditutup di sebuah rumah di Sandakan, Sabah.

Ketua Polis Sandakan George Abd Rakman berkata, tangkapan dibuat dalam tempoh kurang 24 jam, dan polis telah mengenal pasti dua individu sebagai suspek utama, hasil soal siasat lanjut.

“Motif kejadian dipercayai adalah disebabkan perselisihan faham mengenai upah ubah suai rumah dan kerana suspek tidak berpuas hati terhadap mangsa yang menaikkan kadar sewa bulanan rumah yang didiami semua suspek,” katanya, lapor Berita Harian.

Menurut polis, mayat mangsa berusia 62 tahun itu ditemukan oleh anggota polis yang memeriksa sebuah rumah pada Rabu, selepas menerima maklumat daripada orang awam mengenai bau busuk.

Mangsa dipercayai sudah meninggal dunia dalam beberapa hari berdasarkan keadaan mayat yang mereput.

Polis berkata, individu yang ditahan terdiri daripada lima lelaki dan lima wanita, dengan tiga daripadanya warga Filipina manakala selebihnya warga tempatan, yang kesemuanya mempunyai hubungan kekeluargaan.

Polis turut merampas sebatang kayu dipercayai digunakan dalam kejadian, serta beberapa barang peribadi milik mangsa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan: