"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Jangan keliru, isu Maisarah kes sivil, bukan syariah’

Malaysiakini 
story-imagePersatuan Pertubuhan Peguam Syarie Negeri Pahang (PPSNP) mengingatkan masyarakat supaya menghormati proses perundangan yang melibatkan bekas pasangan suami isteri Orang Asli berkaitan perebutan hak penjagaan anak mereka.

Persatuan Pertubuhan Peguam Syarie Negeri Pahang (PPSNP) mengingatkan masyarakat supaya menghormati proses perundangan yang melibatkan bekas pasangan suami isteri Orang Asli berkaitan perebutan hak penjagaan anak mereka.

Ayah kanak-kanak itu Roslan Mohamad adalah bukan Islam, manakala ibunya Nur Aisyah Naadhirah Hasbollah sudah memeluk agama Islam. 

Kanak-kanak berusia sembilan tahun itu–Angelina Marion Rose atau nama Islamnya Nur Maisarah Abdullah–juga didakwa mengikut agama ibunya.

Pengerusi PPSNP Mohd Rosli Yusoff berkata pihaknya maklum mengenai kegusaran masyarakat susulan penularan video sejak 26 Mei lalu berkaitan prosiding melibatkan kes itu di Mahkamah Tinggi Kuantan, Pahang.

“Pihak kami menegaskan kes tersebut merupakan prosiding di Mahkamah Tinggi Kuantan dan bukannya di Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan memandangkan terdapat kekeliruan orang ramai yang menyangka kes ini berlaku di Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan.

“Oleh kerana ibu kanak-kanak tereebut diwakili oleh peguam, pihak kami percaya peguam tersebut telah dan akan mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi menjamin kepentingan dan hak ibu serta kanak-kanak tersebut,” katanya.

Justeru Mohd Rosli menyelar pihak yang membuat tohmahan, komen dan spekulasi negatif yang tidak berasas terhadap mana-mana institusi kehakiman dan perundangan negara ini.

Video tular itu memaparkan kanak-kanak itu menangis enggan berpisah dengan ibunya selepas mahkamah memutuskan perintah habeas corpus berpihak kepada bapanya pada 25 Mei.

Peguam Aisyah, Muhammad Amin Anuar, semalam berkata selain habeas corpus, terdapat juga prosiding berkaitan pertikaian hak penjagaan melibatkan kedua-dua ibu bapa itu.

Kes itu, katanya, didengar di mahkamah sama dan hakim serupa.

Dua hari kemudian, pada 27 Mei, Aisyah dilapor membuat laporan polis berkait kes pengabaian anak terhadap bekas suaminya.

Ketua Polis Pahang Yahaya Othman mengesahkan menerima laporan itu dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001, berkaitan kes penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak.

Setakat ini tiga saksi telah dipanggil memberikan keterangan.

Urusan guaman dan kempen bagi pihak Aisyah dijalankan oleh sebuah NGO berpangkalan di Kuala Lumpur yang dinamakan YCC Centre. 

NGO itu, yang bimbangkan akidah anak itu terjejas, berharap ia dijaga oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) buat sementara waktu.

Malaysiakini sedang mendapatkan perincian lebih mendalam berkait kes tersebut.

Peguam bapa Maisarah Gene Anand Vendargon ketika dihubungi enggan mengulas lanjut, begitu juga JKM.

JKM pada 29 Mei memohon hak penjagaan sementara daripada Mahkamah Majistret Pekan tetapi ditolak.

JKM juga diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi Kuantan menyiapkan surat tunjuk sebab pada 1 Jun ini kerana mengambil kanak-kanak daripada jagaan ayahnya yang berjaya dalam perintah habeas corpus, lapor media.

Tiada ulasan: