"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bekas ratu cantik terima gangguan seksual ratusan Mat Bangla

Izz Laily Hussein
am@hmetro.com.my.GUAN Yoke (kanan) pada media selepas menerima gangguan seksual daripada ratusan lelaki Bangladesh. FOTO Izz Laily Hussein.
GUAN Yoke (kanan) pada media selepas menerima gangguan seksual daripada ratusan lelaki Bangladesh. FOTO Izz Laily Hussein.
Johor Bahru : Seorang wanita berdepan gangguan seksual daripada lebih 200 lelaki warga Bangladesh selepas video berkenaan dirinya dimuat naik di media sosial selain namanya diburuk-burukkan seorang kenalan, baru-baru ini.

Mangsa, Lee Guan Yoke, 41, yang pernah memenangi 10 pertandingan ratu cantik berkata, dia mengalami gangguan emosi susulan gangguan diterima sehingga pernah terfikir untuk membunuh diri.

Dia berkata, selain mesej dan panggilan telefon, gangguan itu turut diterima melalui pelbagai platform media sosial miliknya.

"Saya hanya tahu dijadikan satu bahan gurauan seksual oleh seorang kenalan yang hanya pernah berjumpa dengannya sebanyak dua kali apabila secara tiba-tiba saya menerima ratusan mesej dan panggilan telefon.

"Semua mesej dan panggilan telefon itu diterima daripada lelaki Bangladesh dengan kata-kata lucah dan sindiran. Perkara ini mengganggu emosi saya kerana ia turut menjejaskan nama baik saya dan keluarga.

"Selain itu, ia juga mengganggu kerjaya dan kehidupan peribadi saya," katanya yang juga ibu tunggal kepada tiga anak yang masih bersekolah," katanya.

Guan Yoke berkata demikian ketika sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat MCA Johor di sini, hari ini.

Wanita yang bekerja sebagai pemandu pelancong itu berkata, dia mula menerima gangguan berkenaan sejak 17 Mei lalu.

"Pada hari itu, saya terjumpa satu rakaman video 'live' Facebook dibuat seorang lelaki bernama Lee Fook Soon yang seolah-olah menjual diri saya kepada sekumpulan lelaki Bangladesh.

"Ayat-ayat yang digunakan semuanya berbaur lucah, antaranya 'dia satu malam mahu tujuh kali', 'nanti kamu jalan macam biawak, setelah bangla hentam kamu tujuh kali' dan lain-lain," katanya.

Guan Yoke kemudian membuat dua laporan polis berhubung gangguan dialaminya, masing-masing di Balai Polis Taman Universiti dan Balai Polis Ulu Tiram, pada 18 dan 21 Mei lalu.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Biro Pengaduan Awam MCA Johor, Joan Ng Geok Yin berkata, pihaknya akan merujuk kes terbabit kepada agensi berkaitan supaya dapat membela kesejahteraan mangsa.

"Kami sudah hubungi lelaki berkenaan, dia mengaku membuat rakaman langsung itu, tetapi mendakwa ia hanya gurauan.

"Namun, tindakannya itu mengganggu ketenteraman hidup mangsa yang juga seorang ibu tunggal.

"Kami berharap pihak berkuasa dapat bertindak dan memberi pembelaan terhadap mangsa, kerana sehingga kini rakaman video lelaki berkenaan masih boleh ditonton di media sosial," katanya.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak mengesahkan bahawa pihaknya ada menerima laporan polis berhubung kejadian berkenaan.

Tiada ulasan: