"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

SEKALI LAGI, ANWAR SENDIRI AKHIRNYA TERPAKSA TAMPIL MEMPERTAHANKAN DIRINYA

Shahbudin Husin

Nampaknya, sekali lagi Perdana Menteri sendiri terpaksa tampil mempertahankan dirinya daripada serangan parti lawan yang mendakwa antara sebab kejatuhan nilai ringgit adalah kerana negara tidak mempunyai Menteri Kewangan sepenuh masa.

Kata Anwar Ibrahim, kejatuhan nilai mata wang ringgit malaysia bukan berpunca daripada negara mempunyai seorang Menteri Kewangan yang tidak bekerja sepenuh masa.

Sebaliknya, kata beliau, antara faktor penyebabnya ialah berkaitan dasar, terutamanya dasar Amerika Syarikat dan kekangan antarabangsa.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap kenyataan Penolong Setiausaha Agung Pas Pusat, Mohd Syahir Che Sulaiman sebelum ini berkaitan isu tersebut.

“Itu saya pun dengar…
“Masalahnya dasar. Masalah juga disebabkan kekangan antarabangsa.
“Jadi orang yang cadang itu…suruh dia baca laporan ekonomi antarabangsa…bukan laporan Pas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Perumahan Awam Malaysia Madani Dalur di Putrajaya pada Khamis.

Turut hadir ialah Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Syahir yang juga Ahli Parlimen Bachok pada Rabu berkata, dalam tempoh enam bulan ini, ringgit telah menyusut berbanding dolar AS dan mata wang lain sehingga mencecah paras RM4.60/dolar AS, dijangka boleh mencecah paras RM5.00/dolar AS jika tidak dikawal.

Isu kejatuhan nilai ringgit sudah beberapa hari menjadi mainan di media dengan Anwar paling dijadikan sasaran berkaitan dengannya.

Video ucapan lama beliau yang ketika menjadi Ketua Pembangkang mengkritik kenaikan nilai ringgit dengan menyalahkan kerajaan sudah banyak bertebaran di pelbagai platform media sosial.

Soalnya, di mana pihak-pihak lain dalam mempertahankan Anwar?

Selain Rafizi Ramli yang antara lain berkata, kejatuhan nilai ringgit ketika ini turut membawa kebaikan dan menyebabkan beliau dikecam kerana dilihat bertentangan dengan pendiriannya ketika menjadi pembangkang dahulu, tiada menteri lain bersuara mempertahankan Perdana Menteri.

Kata Menteri Ekonomi itu, pendapatan negara terutama sektor minyak meningkat berikutan harganya diniagakan dalam nilai dolar Amerika.

“Lebih tinggi harga minyak dan ringgit yang lemah bermakna lebih banyak duit kita dapat, namun bagi eksport kita adalah sebaliknya,” ujar beliau lagi.

Selain tiada menteri, di mana juga pelbagai jentera dan agensi yang sepatutnya menangkis serangan berkaitan kejatuhan ringgit ini?

Sebelum ini, dalam banyak isu yang timbul, jika kita teliti, sebahagian daripadanya juga tidak berjawwb selama berhari-haru sehingga akhirnya Anwar sendiri tampil menjawabnya.

Untuk berapa lama lagi terpaksa Anwar sendiri, di sebaliknya kesibukannya ke sana sini dengan pelbagai program, terpaksa tampil membela dan mempertahankan dirinya? – ShahbudinHusin 01/06/2023.

Tiada ulasan: