"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dedah siapa hubungi kamu, Puad beritahu Hadi

Chia Wan Rou

PETALING JAYA: Presiden PAS Abdul Hadi Awang sepatutnya mendedahkan individu yang didakwa memberi tawaran untuk parti itu menyertai kerajaan perpaduan, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi.

“Sepatutnya ustaz Hadi dedahkan sahaja pihak atau individu yang menawarkan kerjasama dalam kerajaan perpaduan,” katanya kepada FMT.

Puad turut berpandangan, kenyataan Hadi itu sekadar provokasi untuk menjaga “harga diri” yang semakin tercalar kerana “ditunggang” Bersatu.

“PAS tidak perlu diajak pun. Kalau PAS serius, jujur, dan insaf betapa pentingnya ‘kestabilan’, PAS sepatutnya datang sendiri tanpa dijemput menyertai kerajaan perpaduan.

“Tinggalkan PN. Daripada terus ‘ditunggang’ Bersatu, lebih baik PAS bermaruah dengan sama-sama mewujudkan kerajaan stabil demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Puad mengulas kenyataan Hadi semalam, yang mendakwa dihubungi “orang tertentu” beberapa kali menawarkan kerjasama dalam kerajaan.

Walaupun mempersoalkan tawaran itu, Hadi dilaporkan berkata, sepatutnya ia memberi “kelebihan kepada PAS” kerana mempunyai kerusi lebih banyak berbanding parti lain.

Hadi berkata, PAS sepatutnya diberikan peranan di hadapan untuk memimpin kerajaan kerana mempunyai lebih banyak kerusi.

Katanya, ketika ini pihaknya terbuka dengan mana-mana tawaran oleh sesiapa pun, tetapi ia mesti tidak lari daripada prinsip, matlamat, dan hala tuju PAS.

Sementara itu, Puad yang juga Adun Rengit berkata, sebenarnya tawaran menyertai kerajaan sudah lama dibuat sebelum kerajaan perpaduan dibentuk, seiring titah Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk kerajaan baharu dengan segera selepas PRU15.

“Cuma PAS dan Bersatu yang sombong. Mereka bermimpi di siang hari kononnya mempunyai bilangan mencukupi untuk membentuk kerajaan sendiri,” katanya.

Tiada ulasan: