"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pengusaha stesen minyak rugi RM205,000 diperdaya ‘pegawai polis’

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang pengusaha stesen minyak di Muar kerugian RM205,000 selepas mendakwa menjadi mangsa penipuan dalam talian, pertengahan April lalu.

Ketua Polis Muar, Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata kejadian bermula pada 15 April lalu apabila mangsa berusia 57 tahun menerima panggilan daripada individu menyamar wakil insurans dan pegawai polis.

Katanya, suspek memberitahu mangsa ada membuat satu tuntutan wang insurans kira-kira RM30,000 daripada sebuah hospital di Pahang.

“Mangsa diminta menghubungi balai polis Pahang bagi membuat laporan mengenai insurans itu kerana butiran diri lelaki itu didakwa disalahgunakan orang lain.

“Pada masa sama, mangsa juga menerima panggilan daripada seseorang memperkenalkan diri sebagai ‘Pegawai Kanan Polis’ daripada balai polis Pahang untuk membantunya,” katanya menurut Berita Harian.

Jelasnya lagi, ‘pegawai polis’ terbabit meminta mangsa mengisytiharkan semua harta miliknya kepadanya.

“Mangsa diminta membuat lapan kali transaksi ke dalam akaun bank berbeza berjumlah RM205,000 untuk tujuan semakan pihak mahkamah.

“Awal bulan ini, mangsa cuba menghubungi pegawai polis itu melalui pesanan mesej aplikasi WhatsApp tetapi tiada sebarang jawapan. Selepas itu mangsa menyedari dia ditipu lalu membuat laporan polis.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Tiada ulasan: