"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sesudah PAS mendakap Proklamasi Orang Melayu

Fakhrurrazi Rashid

Presiden PAS Abdul Hadi Awang mendakwa pernah ada beberapa pihak menawarkan parti itu menyertai kerajaan perpaduan gara-gara kerajaan perpaduan ini tidak kukuh kesan kehilangan sebahagian besar sokongan orang Melayu.  

Abdul Hadi turut mendakwa PAS perlu diletakkan di barisan hadapan (baca: menjadi menteri kabinet) jika menyertai kerajaan kerana parti itu mempunyai jumlah kerusi terbanyak di Dewan Rakyat.

Pada masa sama dia turut menyatakan ada beberapa bekas pemimpin dan wakil rakyat Umno akan menyertai PAS dalam masa terdekat.  

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi kemudian menempelak PAS agar jangan ‘nak perasan’ ada orang menawarkan parti itu menjadi sebahagian kerajaan perpaduan.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, turut menafikan kenyataan Abdul Hadi itu.

Begitulah dinamiknya politik Malaysia. PAS yang vokal mengkritik kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim akhirnya terpaksa menjaja cerita itu untuk kekal relevan dalam permainan politik menuju pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

Sebelum ini, terdapat dua peristiwa yang menimbulkan persoalan tentang perkembangan semasa.

Pertama, pertemuan PAS dan Dr Mahathir Mohamad berkenaan Proklamasi Orang Melayu. Kedua, pertemuan anggota putera Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat - Nik Mohammad Abduh dan abangnya, Nik Omar - bersama perdana menteri.

Meskipun nilai perjumpaan itu bezanya seperti langit dan bumi, ia menunjukkan PAS sedang mencari hala tuju dan kawan dalam politik. Mungkin juga PAS sedang memulakan tahaluf siyasi baru untuk menjenamakan semula politiknya.

Adakah PAS mula sedar kerjasama mereka dengan Bersatu dalam PN tidak mampu bertahan lama kerana rakan mereka itu turut terpalit dengan ‘kluster mahkamah’ justeru tidak mampu menarik sokongan pengundi Melayu?

Menurut individu yang turut hadir dalam pertemuan di antara Nik Abduh dan Anwar baru-baru ini, Wan Ji Wan Hussin, perdana menteri berharap untuk memperkukuh ukhuwah bersama Abdul Hadi walaupun PAS terus memainkan isu kaum dan agama sebagai bahan kempen mereka.

Hasrat itu secara tidak langsung menunjukkan jiwa besar perdana menteri dalam mengekalkan ukhwah sesama pemimpin yang lain walaupun berbeza parti.

Tambah banyak kerusi

Sosok Anwar dan PAS sebenarnya amat rapat. Hubungan akrab Anwar bersama pemimpin kanan PAS seperti Allahyarham Fadzil Noor, Tok Guru Nik Abdul Aziz, dan beberapa individu lain sebenarnya mencipta gerakan islah yang besar bagi mengubah landskap politik negara.

Gerakan Reformasi yang tercetus akibat pemecatan Anwar daripada jawatan timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno membantu PAS memenangi banyak kerusi parlimen semasa PRU ke-10 pada 1999.

Daripada tujuh pada 1995, kerusi PAS di Dewan Rakyat bertambah menjadi 27 kerusi. PAS juga dapat menawan Terengganu daripada BN dan mengurangkan jumlah undi Umno di kerusi majoriti Melayu, termasuklah di Kedah dan Perlis.

PRU ke-10 menyaksikan PAS berpeluang terus mendapatkan undi Melayu dalam keadaan Umno-BN berada dalam kedudukan lemah. Trend itu turut berlaku pada PRU ke-15 apabila PAS berjaya menambah 43 kerusi parlimen berbanding 18 pada PRU ke-14.

Kini, PAS sedang menguasai kawasan Malay belt yakni Kedah, Perlis, Kelantan, dan Terengganu. Bukankah ini sama situasinya seperti PRU ke-10?

Hakikatnya, tanpa gerakan Reformasi, PAS mungkin perlu menunggu lebih lama untuk sampai ke tahap terkini. Malah, kerjasama Anwar dengan Abdul Hadi dalam Pakatan Rakyat sekurang-kurangnya berjaya membentuk kerajaan yang stabil dan progresif di peringkat negeri dari 2008 sehinggalah 2015 apabila gabungan itu terbubar.

Situasi Anwar menjadi perdana menteri paling ideal ialah apabila dia dan parti pakatannya membentuk kerajaan pusat dengan PAS berbanding Umno-BN.

Hal itu kerana PAS merupakan rakan segerak Anwar semasa Reformasi bergelora. Namun, takdir menentukan Anwar akhirnya membentuk kerajaan pusat dengan seteru politiknya sendiri.

Sudah tentu Anwar masih mempunyai titik lunak (soft spot) terhadap PAS khususnya ke atas individu yang pernah berpencak dengannya pada era 1980-an dan 1990-an.

Saling hormat menghormati

Tidak hairanlah sekiranya sebilingan besar ahli PAS di peringkat akar umbi tetap menyokong Anwar dalam diam. Sentimen itu berbeza dengan ahli PAS pascareformasi dan golongan muda yang terputus daripada perjuangan hangat 1998.  

Mungkin, ini juga boleh dijadikan pintu membuka persaingan lebih sengit di negeri-negeri yang dikuasai PAS. Dan, walaupun sokongan itu bukan berbentuk undi sekalipun, sebilangan ahli PAS tidak mempunyai masalah untuk mengekalkan Anwar sebagai perdana menteri.

Reputasi Anwar yang lebih cermat semasa mengkritik PAS dan penganjuran majlis-majlis ilmu yang menghimpunkan agamawan dalam serta luar negara, sedikit sebanyak boleh meyakinkan mereka bahawa perdana menteri sekarang ikhlas mengangkat Islam berteraskan pembudayaan ilmu.  

Pun begitu sukar menghitung bagaimana tahaluf siyasi PAS dalam kerajaan perpaduan.

Lebih baik jika kerajaan perpaduan dan PAS membuat perjanjian pembekalan dan kepercayaan (CSA) dalam usaha mengukuhkan kestabilan politik negara untuk tempoh jangka panjang.

Maksudnya, kedua-dua pihak menghormati peranan masing-masing atas kepentingan rakyat terbanyak, termasuk orang Melayu dan Islam.  

Mungkin ini sekadar angan-angan atau hasrat saya untuk mencari kestabilan politik dengan melihat kerjasama PAS dan kerajaan perpaduan dalam kerangka mengukuhkan kestabilan politik dan ekonomi negara.

Jika perkara ini berlaku, sudah pasti keharmonian dalam berpolitik dapat dijaga dengan batas-batas yang dipersetujui secara bersama demi kebaikan rakyat terbanyak.

Sebaliknya, tindakan PAS menyerang dengan peluru politik perkaum dan agama hanya membuka ruang perselisihan yang memualkan masyarakat.

Tiada ulasan: