"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Remaja 13 tahun pandu kereta bawa ibu, rakan ditahan

FMT Reporters
PETALING JAYA: Remaja lelaki berusia 13 tahun ditahan kerana memandu kenderaan tanpa lesen dengan membawa ibu dan rakannya di Jalan Rozhan, Machang Bubuk, kira-kira jam 3 petang semalam.

Ketua Polis Seberang Perai Tengah, Tan Cheng San, berkata polis mengesan video tular berdurasi 32 saat memaparkan orang awam menahan sebuah kereta dipandu remaja tersebut, 3 petang semalam.

Katanya, remaja itu memandu kereta sejauh kira-kira empat kilometer dan gelagatnya dilihat orang awam menyebabkan mereka menahannya sebelum tular di media sosial.

“Ekoran video terbabit, polis menjejaki remaja itu dan menahannya di hadapan Flat Taman Machang Bubuk pada hari sama.

“Selain remaja itu, polis turut menahan ibunya berusia lewat 40-an dan rakan berusia 13 tahun berada dalam kereta ketika kejadian,” katanya menurut Harian Metro.

Cheng San berkata, polis mengambil tindakan dengan mengeluarkan tiga saman di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Saman itu dikeluarkan mengikut Seksyen 26(1) kerana tiada lesen memandu, Seksyen 39(1) kerana memandu di bawah umur dan ibu suspek yang juga pemilik kereta disaman di bawah Seksyen 39(5) kerana membenarkan pemandu bawah umur memandu.

“Polis menasihati ibu bapa dan masyarakat supaya jangan cuai dan lalai dengan membenarkan kanak-kanak memandu kereta atau menunggang motosikal kerana membahayakan kanak-kanak itu serta pengguna jalan raya lain,” katanya.

Terdahulu tular video berdurasi 32 saat memaparkan Proton Iswara Aeroback berwarna hitam berhenti di tengah jalan dipercayai ditahan orang awam.

Dalam insiden itu didapati seorang remaja lelaki dipercayai pemandu berada di luar kenderaan, manakala seorang lagi dipercayai rakannya berada di tempat duduk penumpang belakang.

Pada 10 Mei lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dikesan memandu Toyota Vios sejauh 2.5km milik keluarganya hingga terbabit dalam kemalangan di Jalan Bukit Tangga, Langkawi.

Kanak-kanak terbabit yang turut membawa adiknya berusia tiga tahun dikatakan ingin ke kedai berhampiran untuk membeli mainan, kira-kira jam 11.15 malam.

Tiada ulasan: