"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS Sarawak beritahu Hadi, Jangan tolak dulu, bincang dengan PN

Amirul Faiz

PETALING JAYA: Tawaran “orang tertentu” kepada Presiden PAS Abdul Hadi Awang untuk bekerjasama dalam kerajaan perpaduan perlu dibincang Perikatan Nasional (PN), kata pemimpin negeri.

Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee, berpandangan tawaran itu perlu dipanjangkan kepada Bersatu yang menjadi rakan komponen PN.

Beliau berkata, walaupun tidak dapat mengenal pasti “niat sebenar” pihak berkenaan menghubungi Hadi, PAS tidak akan membiarkan PN ketinggalan.

“Kita tidak pasti niat sebenar ‘orang tertentu’ itu, mungkin juga mereka nak memisahkan PAS dengan Bersatu dalam PN sebab kalau mereka nak ajak…perlu ajak Bersatu sekali. Maksudnya PN sekali, bukan PAS sahaja,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, PAS juga perlu berwaspada dengan tawaran disebutkan Hadi.

Katanya, wujud kesangsian berhubung tawaran itu kerana ia mungkin “teknik mengelirukan pengundi” pihak tertentu, lebih-lebih lagi menjelang PRN di enam negeri.

“PAS perlu berhati-hati dengan setiap tawaran. Jika selepas pilihan raya (negeri), mungkin tawaran tersebut boleh dipertimbangkan,” katanya.

Bagaimanapun, Jofri berkata tawaran itu tidak boleh ditolak mentah-mentah.

“PAS perlu membincangkan tawaran menyertai kerajaan perpaduan bersama rakan komponen dalam PN sebelum menerimanya,” katanya.

Semalam, Hadi mendakwa dihubungi “orang tertentu” beberapa kali yang menawarkan kerjasama dalam kerajaan perpaduan.

Namun, beliau mempersoalkan tawaran itu dan berkata, sepatutnya ia memberi “kelebihan kepada PAS” kerana mempunyai kerusi lebih banyak daripada parti lain.

“Ada orang hubungi saya…beberapa orang acap kali nak berjumpa dengan tawaran untuk menyertai kerajaan. PAS ada 43 kerusi…PKR 30 sahaja. Dalam keadaan 30 kerusi ini, sembilan kerusi adalah bukan Melayu, 19 sahaja Islam.

“Dalam keadaan PKR, DAP pula, tiga Melayu dari 40 kerusi, 37 kerusi bukan Melayu. Kalau campur gabungan itu, kerajaan akan didominasi oleh orang Islam,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Buku Jejak Nabi Muhammad dan Syarahan Perdana di Pusat Dagangan Dunia.

Tiada ulasan: