"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tangkap layar perbualan Ebit-pengadu didedah di mahkamah

FMT Reporters

PETALING JAYA: Mahkamah diberitahu tangkap layar perbualan antara pendakwah, Ebit Lew dan pengadu bermula sejak 2021.

Ia didedahkan menerusi analisis telefon bimbit milik pengadu yang dilakukan Juruanalisis Kanan Audio/Video Makmal Forensik Polis Cheras, Latifah Abdul Aziz di Mahkamah Majistret Tenom.

Latifah, saksi ketujuh pendakwaan memberitahu tangkap layar diperoleh daripada telefon bimbit bertanda NA-1 menunjukkan perbualan menerusi WhatsApp bermula 4 Mac 2021.

Itu antara perkara dijelaskan saksi berdasarkan 219 gambar tangkap layar diperoleh daripada telefon bimbit pengadu yang disimpan dalam sebuah cakera padat DVD-R, salah satu bahan bukti kes gangguan seksual melibatkan Ebit atau nama sebenarnya sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew.

Dalam perbicaraan lalu, telefon bimbit bertanda NA-1 iaitu Samsung Galaxy A31 diserahkan kepada pegawai penyiasat oleh pengadu ketika membuat laporan polis di Bukit Aman pada 7 Ogos 2021.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, yang mengetuai pemeriksaan utama turut meminta penjelasan saksi mengenai tangkap layar memaparkan nombor 02:28 am dalam gambar tangkap layar pertama.

Saksi menjelaskan nombor yang tertera merujuk kepada masa mesej berkenaan dihantar kepada penerima (pengadu), menurut Utusan Malaysia.

Gambar tangkap layar dipaparkan juga menunjukkan terdapat panggilan suara tidak dijawab pada dua tarikh berbeza yang dilakukan oleh pengirim mesej (Ebit) kepada penerima (pengadu).

Perbicaraan kali ini berlangsung tanpa kehadiran Ebit kerana peguamnya memaklumkan pendakwah itu menunaikan haji di Makkah.

Ebit berdepan 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui WhatsApp yang didakwa berlaku di Tenom antara 29 Mac hingga 18 Jun 2021.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga lima tahun, denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani dan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad serta Zahida Zakaria.

Ebit diwakili peguam Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki dan Mohd Syarulnizam Salleh Keruak.

Tiada ulasan: