"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Suami rentung; isteri, 2 anak parah nahas di Kulim

FMT Reporters
Bomba berkata, mangsa yang juga pemandu Proton Iswara tersepit dan rentung selepas keretanya terbakar akibat pelanggaran dengan kereta Toyota Camry. (Gambar JPBM)
PETALING JAYA: Seorang lelaki rentung, manakala isteri dan dua anaknya parah dalam nahas di Jalan Kulim-Baling, Kulim, hari ini.

Ketua Polis Kulim Mohd Redzuan Salleh, berkata Balai Polis Trafik Kulim menerima maklumat berhubung kemalangan melibatkan dua kenderaan itu, pada 2.20 petang.

Beliau berkata, mangsa berusia 27 tahun yang memandu kereta Proton Iswara terbakar dan rentung.

“Isteri mangsa berusia 28 tahun dan dua anak berusia tiga dan empat tahun parah dan sedang menerima rawatan di zon merah Hospital Kulim (HK).

“Siasatan awal oleh pihak polis mendapati kemalangan berlaku apabila kereta dipandu mangsa yang datang dari arah Kulim ke Baling dipercayai terbabas ke laluan bertentangan,” katanya menurut Harian Metro.

Katanya, kenderaan dipandu mangsa kemudian dirempuh Toyota Camry dari arah Baling ke Kulim, namun pemandunya berusia 46 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Redzuan berkata, siasatan juga mendapati pemandu kereta Toyota Camry itu memandu dalam keadaan lesen tamat tempoh.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Bomba Kedah, Abdul Rahim Che Omar, berkata kemalangan menyebabkan pemandu Proton Iswara itu tersepit dan terbakar.

Beliau berkata, anggota bomba memadam kereta yang terbakar dan mengeluarkan mangsa tersepit dengan peralatan khas.

Tiada ulasan: