"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penganalisis: Tak mustahil PAS tuntut jawatan MB Selangor jika PN menang

Nora Mahpar

PETALING JAYA: Pemerhati politik berpandangan tidak mustahil PAS akan menuntut jawatan menteri besar Selangor sekiranya Perikatan Nasional (PN) menawan negeri itu pada PRN kelak, walaupun Bersatu menegaskan tampuk kerajaan negeri ‘milik’ mereka.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara tidak menolak kemungkinan itu sekiranya PAS memenangi lebih banyak kerusi berbanding Bersatu, bahkan parti itu boleh mewajarkan tuntutan dengan alasan pengaruh lebih besar dan pernah mentadbir bersama Pakatan Rakyat.

“Sememangnya akan jadi masalah sekiranya PAS dapat kerusi terbanyak dalam satu-satu negeri berbanding Bersatu,” katanya kepada FMT. “Sudah pasti PAS akan mendakwa orang dia yang sepatutnya jadi menteri besar walaupun sebelum ini Bersatu telah mengesyorkan ‘poster boy’ daripada mereka.”

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang juga pengerusi PN pada Mac berkata jawatan menteri besar Selangor dan Negeri Sembilan akan diberi kepada Bersatu sekiranya PN menang PRN akan datang.

“Jika PAS menang lebih banyak kerusi adakah mereka akan menuntut jawatan menteri besar? Itu satu kemungkinan tetapi mereka boleh berunding,” kata Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

“Walaupun peranan PAS tidak sebagai menteri besar, mungkin PAS akan diberi jawatan timbalan menteri besar di Negeri Sembilan dan Selangor. Itu sebagai langkah kompromi sekiranya dua pihak berkeras menuntut jawatan menteri besar.”

Beliau percaya jawatan nombor satu itu wajar diberikan kepada Bersatu walaupun kemungkinan besar PAS menang lebih banyak kerusi, kerana Selangor perlukan pentadbir yang berfikiran dinamik.

“PAS agak ‘kurang’ di situ,” katanya. “Iklim dan suasana politik serta pemikiran rakyat di Selangor agak sesuai dengan pendekatan Bersatu.”

Azmi berkata Muhyiddin mungkin merasakan bahawa meletakkan PAS sebagai ‘watak utama’ di Selangor akan menawarkan hati pengundi Melayu di negeri itu, yang berbeza dengan pengundi di Kedah, Kelantan, dan Terengganu dari segi tingkah laku dan citarasa.

“Jika mereka melihat contoh (kepimpinan) MB dari PAS mentadbir negeri, ia boleh menimbulkan persepsi negatif; jadi sebab itu Muhyiddin terlebih dahulu menyatakan menteri besar datang dari Bersatu,” katanya.

Sebelum ini, Muhyiddin berkata hasil rundingan dengan PAS menyimpulkan Kedah, Kelantan, dan Terengganu milik PAS sementara Pulau Pinang akan ditentukan menerusi bilangan kerusi yang dimenangi oleh parti-parti komponen PN.

PN juga dilaporkan mahu menamakan bekas menteri besar, Azmin Ali, sebagai “poster boy” di Selangor namun ditentang akar umbi PAS.

Tiada ulasan: