"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PKR dan BN Terengganu tak 'sebulu'?

Muhammad Yusri Muzamir
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: PKR Terengganu mengingatkan rakan sekutunya, Barisan Nasional (BN) supaya memuktamadkan rundingan pembahagian kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) secara harmoni.

Ketua Penerangan AMK negeri, Wan Muhammad Haikal Wan Ghazali, berkata, ia bagi mengelak berlakunya pertikaian semasa proses pengundian.

Beliau berkata, ia berikutan Pakatan Harapan (PH) dan BN memiliki tujuan sama iaitu membentuk kerajaan perpaduan di Terengganu, selaras pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

Katanya, ia sekali gus akan memberi Terengganu nafas baharu dan memperbaiki kelemahan pentadbiran PAS yang menerajui kerajaan negeri selama satu penggal.

"Kenyataan dikeluarkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Said berkenaan kekuatan sebenar UMNO dan PAS di Terengganu dan perlunya Pakatan Harapan (PH), terutama PKR mengukur baju di badan sendiri.

"Kenyataan ini sebenarnya tiada masalah memandangkan PH negeri sejak bertapak di Terengganu melalui dua pilihan raya umum sebelum ini, sememangnya akur kekuatan ini perlu diteruskan melalui gerak kerja pimpinan dan akar umbi yang lebih agresif," katanya malam tadi.

Ahmad Said kelmarin, dipetik berkata, PKR perlu 'ukur baju di badan sendiri' sebelum menuntut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu untuk bertanding pada PRN akan datang.

Beliau dilaporkan berkata, PKR sepatutnya mengambil kira pelbagai aspek termasuk kekuatan jentera dan jumlah penyokong serta ahli akar umbi dimiliki sebelum membuat desakan.

Bekas Menteri Besar Terengganu itu mengulas desakan jawatankuasa PKR Cabang Kuala Terengganu yang menuntut kerusi kawasan DUN Bandar dikembalikan kepada partinya untuk meletakkan calon.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) calon PKR, Azan Ismail yang bertanding atas tiket PAS memenangi kerusi DUN Bandar selepas menewaskan calon BN, Datuk Toh Cin Yaw dengan majoriti 2,159 undi.

Bagaimanapun, Azan gagal mengekalkan kemenangan apabila bertanding atas tiket PKR pada pertandingan tiga penjuru pada PRU14.

Azan hanya memperoleh 3,996 undi manakala calon BN, Toh Seng Cheng hanya mendapat 5,042 undi dan kerusi DUN Bandar dimenangi calon PAS, Ahmad Shah Mohamed yang memperoleh 7,133 undi.

Sementara itu, Wan Muhammad Haikal turut menasihati BN supaya memuktamadkan pembahagian kerusi secara baik, tanpa ada kenyataan mengguris perasaan rakan komponen lain dalam Kerajaan Perpaduan, seperti di lima negeri lagi yang turut berdepan PRN.

"Saya yakin baik kepimpinan utama BN Terengganu, mahupun PH negeri. Kita semua mahu proses rundingan ini selesai secara muktamad dan harmoni tanpa ada berlaku pertikaian semasa proses pengundian.

"Saya juga yakin jika kita mampu menunjukkan kebersamaan lebih kukuh, pasti rakyat lebih yakin untuk bersama dan memberi peluang untuk kita mentadbir Terengganu," katanya.

Tiada ulasan: