"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mahdzir: Tiada ‘panglima’ Umno Kedah sertai PN

FMT Reporters

PETALING JAYA: Umno menepis dakwaan “panglima” atau “warlord” parti itu di Kedah akan menyertai Perikatan Nasional sebelum PRN, seperti didakwa Hamzah Zainudin.

Ketua Umno Kedah, Mahdzir Khalid, berkata dakwaan itu hanya permainan persepsi oleh seteru menjelang PRN.

“Setakat ini tidak nampak (pemimpin Umno negeri akan sertai PN). Tidak ada di Kedah,” katanya, namun menambah pemergian bekas ahli atau ahli yang dihukum membawa diri ke parti lain perkara biasa dalam dunia politik.

“Bukan sahaja Umno pergi ke parti lain, tapi dari parti lain ke Umno pun ada terjadi,” katanya dalam kenyataan, mengambil contoh bekas setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Khairuddin Aman Razali, yang menyertai Majlis Ulama Umno.

Mahdzir berkata, permainan persepsi oleh PN itu usaha untuk meraih sokongan daripada pengundi muda yang akan mengundi pada PRN akan datang.

Beliau berkata, permainan persepsi tidak perlu kerana pengundi akan memilih berdasarkan keutamaan masing-masing, mengambil contoh penyokong Barisan Nasional yang mengutamakan kemajuan Kedah.

Justeru, bagi merealisasikan keutamaan itu, Mahdzir berkata “perlu kerajaan yang sama seperti persekutuan”.

“Sebab itu kita mahu ‘kalih’ negeri ini,” katanya.

Hamzah yang juga setiausaha agung PN pada 12 Jun lalu mendakwa gabungan tersebut dalam masa terdekat akan menamakan 10 “panglima” Umno yang akan bersama PN.

Beliau berkata, kepimpinan PN sedang memuktamadkan perkara itu sebelum diumumkan dalam program bersesuaian.

Tiada ulasan: