"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penyeludup lembu, kerbau tertinggal MyKad di tebing Sungai Golok

MUHAMMAD AYMAN GHAFFA
Penyeludup lembu, kerbau cabut lari tertinggal MyKad di tebing Sungai Golok.
TANAH MERAH – Dua lelaki yang sedang menyeludup sembilan ekor lembu dan kerbau lari lintang-pulang sehingga salah seorang daripadanya tertinggal MyKad dan motosikal selepas kegiatan mereka di tebing Sungai Golok, di sini dikesan anggota tentera darat semalam.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (Dua Divisyen) dalam satu kenyataan berkata, kedua-dua lelaki itu didapati sedang menyeludup haiwan ternakan itu di kawasan tanggungjawab Briged Kelapan Infantri Malaysia dekat sempadan Malaysia-Thailand kira-kira pukul 6.15 petang.

Menurutnya, kedua-dua lelaki itu sempat melarikan diri dengan menyeberangi Sungai Golok ke kawasan Thailand sewaktu serbuan dijalankan.

“Mereka meninggalkan sembilan ekor kerbau dan seekor lembu yang dianggarkan bernilai RM 78,705 di sempadan negara ini. Penyeludup juga tertinggal sebuah motosikal dan beberapa barangan peribadi termasuk MyKad,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pihaknya sudah membuat laporan di Balai Polis Lalang Pepuyu, Tanah Merah dan kesemua rampasan lembu diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).

Katanya, kes penyeludupan itu disiasat oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Bunga.

“Berdasarkan rekod, terdapat sebanyak tiga kes rampasan haiwan ternakan oleh pasukan operasi tentera darat sepanjang tahun ini iaitu sebanyak 69 ekor lembu pada 16 Jun, 17 ekor lembu pada 19 Ogos lalu dan kes terbaharu semalam.

“Kesemua lokasi rampasan haiwan ternakan itu berlaku di kawasan yang berhampiran antara satu sama lain,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan: