"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hanya kerana tersalah masuk barisan, murid ditampar guru

Amirul Aiman Hamsuddin
am@hmetro.com.my

Kuala Selangor: Hanya kerana tersalah masuk barisan, seorang murid Tahun Dua ditampar guru lelaki di sebuah sekolah rendah di daerah ini, semalam.

Kejadian berlaku ketika mangsa berusia lapan tahun selesai menjalani latihan rumah sukan dan diminta beratur mengikut kelas masing-masing sebelum pulang ke rumah.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Deputi Superintendan Mohd Ambia Nordin berkata, terdahulu ibu mangsa yang mengambil anak lelakinya kira-kira 5.50 petang mendapati ada kesan bengkak pada pipi kanan.

"Apabila pengadu bertanya kena apa, mangsa memaklumkan ditampar seorang guru lelaki kerana tersalah masuk barisan.

"Pengadu kemudian membawa anaknya ke sebuah klinik swasta dan doktor memberitahu pipi mangsa sakit disebabkan kesan pukul," katanya dalam kenyataannya, malam ini.

Mohd Ambia berkata, ibu mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Jeram kerana tidak berpuas hati dengan tindakan guru terbabit.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati guru lelaki terbabit menampar mangsa dengan menggunakan tangan kanan dan menampar secara tangan belakang (backhand) sebanyak satu kali.

"Mangsa menerima rawatan di Hospital Tanjong Karang dan ulasan doktor terdapat soft tissue injury (kecederaan tisu lembut)," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan: