"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Selepas sebulan syahidnya Ismail Haniyeh…

Harapandaily

NASAIE ISMAIL

Semalam, genap sebulan pembunuhan As Syahid Sheikh Ismail Abdul Salam Haniyeh di usia 62 tahun. Muda bagi sebahagian pihak dan tua bagi sesetengah yang lain.

Beliau menuruti mereka yang terdahulu mempertahankan bumi Al Quds sejak awal Zionis dan British menyatakan hasrat untuk menubuhkan negara perkauman mereka di bumi Pales tin.

Tiga tahun selepas Deklarasi Belfour di Britain (1917) iaitu pengisytiharan oleh pemimpin British yang menyokong hasrat Zionis untuk menubuhkan negara Israel di bumi Palestin, munculnya Sheikh Izzuddin Al Qasam seorang ulama Syria yang menetap di Haifa memulakan penentangan.

Izzuddin yang aktif mengajar di masjid-masjid sekitar Haifa (bandar pelabuhan utama Israel hari ini) di sekitar tahun 1920-an dan mengasaskan gerakan pembelaan pekerja-pekerja Palestin yang ditindas majikan mereka khususnya penjajah British.

Tahun 1920 Izzuddin menggerakkan kebangkitan rakyat menentang British yang membawa masuk berbondong-bondong pendatang haram Zionis dari negara-negara Eropah Timur khususnya wilayah Soviet.

Tahun 1935 dicatatkan bermulanya gerakan bersenjata menentang penjajahan dan pencerobohan sehingga mengakibatian Izzuddin al-Qassam dibunuh.

Berikutnya muncul dua tokoh baru perlawanan iaitu Mufti Haji Amin Husaini dan mujahid Abdul Qadir Husaini di era 1930-an.

Kedua-dua mereka menggerakkan gerakan penentangan terhadap British dan pendatang haram Yahudi yang menceroboh Palestin.

Penentangn bersenjata atas nama gerakan Jihad al Muqaddas digerakkan Abdul Qadir Husaini sehingga membuahkan banyak kejayaan mengalahkan pendatang haram yang bertukar menjadi pengganas bersenjata yang mencuri tanah dan kebun penduduk Palestin.

Gerakan penentangan bersenjata semakin membimbangkan British yang membantu penubuhan negara haram Israel dengan memindahkan puluhan ribu pendatang haram Zionis setiap tahun apabila kumpulan Abdul Qadir dan Amin Husaini melakukan pemberontakan di tahun 1936-1939.

Maka kedua-dua mereka ditangkap beberapa kali. Keluar penjara mereka meneruskan penentangan sehinggalah Abdul Qadir Husaini dibunuh pada tahun 1948 dan Haji Amin Husaini dihalau keluar dari Palestin.

Selepas negara haram Israel diisytiharkan penubuhannya pada Mei 1948, ia mendapat penentangan negara-negara Arab khususnya Mesir, Syria, Iraq dan Transjordan (belum merdeka sepenuhnya ketika itu) yang memulakan penentangan bersenjata terhadap Israel dibantu negara-negara Arab yang lain.

Ismail Haniyeh ketika mengetuai delegasi Hamas bertemu Perdana Menteri pada Mei lalu.
Ketika ini, sebanyak 700,000 pelarian Palestin yang terkesan dengan keganasan pengganas Zionis yang membakar dan merampas rumah mereka dalam peristiwa Nakbah 1948, telah menjadi pelarian di Lubnan, Syria, Jordan dan Mesir.

Wanita besi

Era 1960-an-1970-an, mengambil semangat perjuangan Pan-Arabism yang dibawa Jamal Abdul Nasser, muncul tokoh baru perlawanan iaitu George Habash dan Leila Khalid dari kem-kem pelarian di Lubnan yang menggerakkan penentangan terhadap Is ra el dari Lubnan, Syria dan dalam Palestin.

George Habash adalah Kristian Palestin yang turut menjadi pelarian dan mengajar universiti di Lubnan, manakala Leila adalah kanak-kanak Palestin dari Haifa yang dihalau bersama keluarganya dalam Nakbah 1948.

Wanita besi ini telah merampas dua kali pesawat Is ra el dalam peristiwa menggemparkan dunia sebagai usaha penentangan beliau terhadap penjajahan tanah airnya.

Tahun 1959 juga munculnya Yasser Arafat yang mengasaskan gerakan Fattah. Beliau bersama rakannya yang menjadi pelajar di Mesir ketika itu menyeludup senjata ke Gaza melalui pelajar-pelajar Gaza di Mesir untuk melakukan penentangan terhadap penjajah.

Selain berpangkalan di dalam Palestin, Arafat juga menggerakkan angkatan perlawanannya dari Mesir, Jordan, Syria dan Lubnan melibatkan puluhan ribu pelarian yang mengangkat senjata menentang penjajahan Israel.

1980-an munculnya kumpulan Jihad Islami dan kemudiannya 1987 terbentuknya Hamas yang dipimpin oleh tokoh utamanya Sheikh Ahmad Yassin bersama Ismail Abu Shanab dan Abdul Aziz Rantisi. Panjang perjuangan mereka sehingga ketiga-tiga tokoh utama ini dibunuh pada tahun 2003 dan 2004.

Ia tahun kesedihan apabila hilangnya pemimpin yang menyatukan dan memberi kekuatan kepada pejuang-pejuang kemerdekaan Palestin. Di tahun yang sama, Yasser Arafat meninggal dunia.

Walaupun Hamas berbeza pandangan dengan Arafat apabila beliau menerima perjanjian Oslo 1993 yang mengakibatkan pengiktirafan terhadap Israel sebagai ganti akan janji terbentuknya sebuah negara Palestin, namun Ahmad Yassin tetap menghormati beliau yang sejak 1959 mengangkat senjata menentang rejim ganas Israel.

Ia tahun kesedihan sama ada di Gaza atau Tebing Barat dan di seluruh dunia amnya. Namun, sebagaimana kematian Izzuddin al-Qassam (1935), hilang dan matinya Amin Husaini dan Abdul Qadir Husaini (1948), maka kematian serentak tokoh perlawanan iaitu Yasser Arafat, Ahmad Yassin, Ismail Abu Shanah dan Rantisi (2004) tidak mematikan perjuangan pembebasan.

Lebih rencam

Munculnya Haniyeh dan mereka yang sewaktu dengannya meneruskan perjuangan yang lebih rencam tetapi semakin meluas penerimaannya.

Jika dahulu rakan Hamas di mana-mana negara Islam hanyalah gerakan-gerakan Islam sahaja, tetapi era Haniyeh rakan beliau adalah tokoh seperti Najib Razak, Mahathir Muhammad, Sheikh Tamim Hamad Thani (Qatar) dan beberapa tokoh lain bersifat negarawan.

Malah, mereka juga mendapat sokongan negara-negara bukan Islam yang turut mempunyai saluran komunikasi tahap tinggi dengan pejuang Palestin seperti Ireland, Sepanyol, Norway, Russia, China dan Afrika Selatan. Pokoknya perjuangan tidak mati dengan matinya pemimpin dan ia akan menjadi semakin meluas.

Maka dalam tempoh sebulan selepas pembunuhan Haniyeh ini, Perdana Menteri Britain, Canselor Jerman dan Presiden Perancis menghubungi secara langsung ketua-ketua negara Islam di Asia Barat memujuk mereka agar tidak dilakukan serangan balas terhadap Israel disebabkan pembunuhan Haniyeh yang berulang kali Hamas dakwa dibunuh Israel. Ia menampakkan saiz pengaruh beliau yang sangat besar dan membimbangkan Barat.

Apapun terjadi, lebih 100 tahun perlawanan terhadap penjajahannya ini sejak 1917 ianya diisytiharkan (Deklarasi Belfour) sehinggalah hari ini (2024), gerakan penentangan tidak mati dan ia akan terus hidup dan menghantui pengganas Israel.

Mereka hanya bergantung kepada kuasa Barat khususnya AS yang baru memperolehi kekuatan selama 200 tahun terakhir ini berbanding kuasa kuasa besar lain sebelum ini yang usianya beribu tahun seperti China, Mesir, Iraq, Parsi dan lain lain.

Akan tiba masanya kejatuhan dan kemorosatan teruk kuasa kuasa Barat bersekali dengan jatuhnya rejim ganas dan rasis Israel yang insya-Allah sempat kita saksikan.

Teruskan berdoa untuk Palestin dan negara negara lain, serta bangsa bangsa yang lain juga yang turut tertindas di seluruh dunia. Akan tiba harinya mentari akan kembali bersinar, kebebasan dan kemerdekaan hakiki akan muncul.

Hasbunallahu Wani’mal Wakil. Allahuakbsr Tahya Falastin.

** Insya-Allah beberapa minggu lagi akan terbit buku baru berjudul ‘Arus Politik Palestin’ yang akan diterbitkan ZRA STRIM. Ia menceritakan secara terperinci sebahagian kisah di atas khususnya Hamas dan Fatah di era Haniyeh dan Abbas atau era selepas kematian Arafat dan Ahmad Yassin. Tunggu ya. Dalam proses cetakan.

Tiada ulasan: