"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tukang gunting liwat remaja sehingga dijangkiti HIV dipenjara 9 tahun, 4 sebatan

Abdul Rahemang Taiming
am@hmetro.com.my
MERUAN ketika hadir di Mahkamah Sesyen Tawau. FOTO Abdul Rahemang Taiming
MERUAN ketika hadir di Mahkamah Sesyen Tawau. FOTO Abdul Rahemang Taiming
Tawau: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun dan empat sebatan ke atas seorang lelaki selepas mengaku bersalah meliwat remaja lelaki berusia 16 tahun, Mac lalu.

Tertuduh, Meruan Daud, 49, yang juga seorang tukang gunting rambut membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa Mahkamah di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.

Ahmad Faizadh dalam penghakimannya berkata, dalam menjatuhkan hukuman mahkamah mengambil kira pertuduhan, fakta kes, jenis kesalahan dilakukan, rayuan tertuduh selain hujah pihak pendakwaan serta faktor kepentingan awam.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal ke ke atas seorang remaja lelaki berumur 16 tahun.

Perbuatan itu, dilakukan di kedai gunting rambut milik tertuduh di Kampung Mentadak Baru Sungai Tamang, Pulau Sebatik, dekat sini, kira-kira 12 tengah hari, 11 Mac lalu.

Bagi kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Suhaimi Suryana, dalam hujahan faktor pemberat bagi hukuman berkata, tertuduh dalam kes ini didapati mengambil kesempatan meliwat mangsa seawal usia 13 tahun lagi dan berterusan sehingga mangsa berusia 16 tahun.

"Pihak pendakwaan juga mengambil kira faktor kemanusiaan terhadap mangsa apabila laporan perubatan yang mengesahkan mangsa dijangkiti HIV positif.

"Seorang kanak-kanak di usia semuda itu tidak seharusnya mengidap penyakit ini malah tertuduh dalam hal ehwalnya juga tidak menunjukkan sebarang keinsafan ataupun rasa bersalah atas perbuatan yang dilakukan terhadap mangsa," katanya.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh mengenali mangsa kerana tinggal di kampung yang sama dan sering melakukan perbuatan keji itu satu kali dalam seminggu dengan kejadian terakhir pada 13 Mac lalu.

Bagaimanapun, perbuatan itu terbongkar selepas mangsa yang dirujuk ke Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Tawau didapati positif HIV hasil daripada ujian saringan di Klinik Kesihatan Kubota, sebelum mangsa mengakui telah melakukan hubungan sejenis (songsang) dengan tertuduh.

Mahkamah kemudiannya memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh tangkapan, 2 April lalu, selain dikehendaki menjalani khidmat kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraan serta berada dalam pengawasan polis selama tempoh dua tahun setelah selesai menjalani hukuman penjara.

Tiada ulasan: