"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tuduhan beri tanah kepada Vincent Tan: Izham saman Harakah, Zaharah Sulaiman

Harapandaily

Exco Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor, Izham Hashim akan mengambil tindakan mahkamah terhadap lidah rasmi Pas, Harakah dan aktivis sejarah, Zaharah Sulaiman.

Beliau menegaskan tindakan undang-undang akan diambil terhadap Harakah dan Zaharah berhubung tuduhan kononnya kerajaan Selangor memberi tanah sepanjang Sungai Klang kepada pengasas Kumpulan Berjaya Vincent Tan.

“Ini adalah fitnah! Kita akan teliti dan bincang untuk ambil tindakan undang-undang terhadap Harakah dan puan (Zaharah Sulaiman) yang membuat kenyataan ini,” katanya menerusi akaun X.

Terdahulu, tular petikan video ucapan Zaharah yang mendakwa kerajaan Selangor memberi Vincent Tan tanah sepanjang Sungai Klang.

“Susah sangat ke untuk mendalamkan sungai sampai harga RM10 bilion?” katanya disiarkan Harakahdaily.

Wanita berkenaan juga berkata, projek mendalamkan sungai itu boleh diserahkan kepada syarikat kontraktor kelas A terdiri daripada orang Melayu yang dakwanya, tiada kerja pada masa ini.

“Kenapa tidak dibahagi-bahagikan satu projek yang besar kepada seramai mungkin kontraktor yang tiada projek hari ini,” ujarnya.

Tuduhan pemberian tanah percuma kepada Vincent Tan dilihat mula dibangkitkan Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada Ogos tahun lalu.

Menteri Besar Kedah itu dalam Jelajah Mega PN Best Sayangi Kedah Sejahtera di Dataran Darul Aman, Jitra, mendakwa wujud skandal antara Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dengan Vincent yang kononnya mahu melaksanakan projek RM10 bilion di Sungai Klang.

Tuduh Sanusi lagi, sebagai timbal balas, taikun berkenaan akan mendapat tanah 600 ekar di Selangor yang dijangka merugikan kerajaan Selangor sekitar RM180 juta.

Tiada ulasan: