"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

AWAS!!! taktik baru Scammer guna 'diskaun' bil TNB

Waspada taktik baru penipu guna 'diskaun' bil TNB

Polis mengesan taktik baru penipuan melalui telefon dengan kononnya menawarkan diskaun pakej pembayaran bil Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang tidak wujud.

Kegiatan itu, kata pihak berkuasa, dikesan sejak Julai lalu dan sudah menyebabkan seorang akauntan kerugian RM164,903.

Ketua Polis Daerah Taiping ACP Mohamad Nasir Ismail berkata akauntan terbabit berhubung dengan seorang lelaki menerusi telefon untuk berurusan mengenai 'tawaran diskaun 35 peratus' sekiranya membayar bil pada 8 Julai lalu.

"Oleh kerana percaya dengan tawaran dibuat suspek, akauntan terbabit menawarkan pula diskaun sebanyak 10 peratus kepada pelanggan TNB yang membuat pembayaran bil elektrik melaluinya," kata Nasir dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya suspek kemudian meminta lelaki berusia 62 tahun itu menghantar gambar salinan bil elektrik melalui telefon sebelum dia membalasnya dengan gambar resit pembayaran kononnya bayaran sudah dijelaskan.

Kata Nasir, akauntan terbabit dapat mencari 120 pelanggan TNB yang bersetuju membuat pembayaran antara 8 Julai hingga 27 Ogos lalu.

"Jumlah bayaran diterima mangsa daripada kesemua pelanggan ialah kira-kira RM207,000.

"Daripada jumlah itu setelah ditolak keuntungan 35 peratus, mangsa melakukan 11 kali transaksi pindahan wang ke lima akaun bank berbeza membabitkan jumlah keseluruhan RM164,903," katanya.

Nasir berkata seorang pelanggan akauntan itu kemudian mendapati bil elektriknya masih tertunggak apabila membuat semakan dengan TNB.

Ekoran itu, katanya, akauntan berkenaan cuba menghubungi suspek namun gagal sebelum menyedari dia kemungkinan sudah menjadi mangsa penipu.

Dia berkata mangsa membuat laporan polis pada Isnin lalu dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai dinasihatkan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pakej pembayaran bil TNB yang tidak wujud dan ini trend terbaru scammer," katanya.

- Bernama

Tiada ulasan: