"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Parkir halang kereta lain cetus perselisihan faham, tetak guna pisau pemotong

Ilah Hafiz Aziz
ilahhafiz.abdulaziz@bh.com.my
Tangkap layar daripada rakaman video tular yang menunjukkan insiden perselisihan faham disebabkan kereta terhalang di pekan Kepong, semalam.
Tangkap layar daripada rakaman video tular yang menunjukkan insiden perselisihan faham disebabkan kereta terhalang di pekan Kepong, semalam.
KUALA LUMPUR: Perselisihan faham disebabkan kereta terhalang dipercayai menjadi punca seorang lelaki parah sehingga menerima 35 jahitan akibat ditetak di pekan Kepong, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari, berkata terdahulu dalam kejadian sekitar jam 5.30 petang, sebuah kereta Perodua Myvi didakwa telah menghalang Perodua Alza milik ibu saudara mangsa di kawasan parkir.

Susulan itu, beliau berkata, pemilik Perodua Alza terbabit membunyikan hon berkali-kali sebelum suspek dikatakan berjalan ke arah Perodua Myvi berkenaan kira-kira setengah jam kemudian.

"Bagaimanapun, berlaku pertengkaran mulut antara suspek dengan anak saudara pemilik Perodua Alza terbabit. Susulan itu, suspek didakwa menumbuk muka mangsa dan mengambil sebilah pisau pemotong di dalam kereta.

"Suspek lelaki berusia 27 tahun itu didakwa menetak mangsa, termasuk di bahagian kepala, dengan menggunakan pisau sepanjang 32 sentimeter berkenaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini, hari ini.

Ahmad Sukarno berkata, mangsa lelaki berusia 24 tahun itu kemudian dikejarkan ke Hospital Selayang dan menerima 35 jahitan, namun keadaannya dilaporkan stabil.

Berikutan itu, beliau berkata, suspek ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Sentul, di lokasi kejadian sekitar jam 6.45 petang semalam dan merampas sebilah pisau di lokasi kejadian.

"Suspek didapati memiliki tiga rekod lampau membabitkan kes dadah, dan kini direman enam hari hingga 10 September ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan," katanya.

Tiada ulasan: